Explore the blog
Tuesday, August 26, 2025

Hari tu aku sempat meluangkan masa dengan sahabat baik aku ketika belajar. Seperti biasa, bila lama tak bertemu, masing-masing bercerita tentang kehidupan masing-masing. Aku sekarang lebih suka menadah telinga dan mendengar berbanding cerita mengenai diri sendiri. Sekali-sekala aku buka juga cerita tentang peribadi aku. Aku lagi berminat nak tahu mengenai hal hidupnya. Lebih-lebih lagi dia sudah menjadi ibu tunggal kepada dua orang anak yang masih kecil. Jika nak dibandingkan susah aku dan susah dia, aku seperti tiada apa mahu diadukan.


Sejak bercerai, dia sudah padam akaun media sosial. FB, IG, Thread, X, Tiktok semua tak ada. Shopee pun dia tak install. Dia memang tak hiraukan pada semua benda tu. Fokus dia adalah bekerja dan membesarkan anak-anak dia. Somehow aku rasa benda tu sangat liberating. Dia tak perlu ambil tahu tentang orang, orang pun tak perlu ambil tahu tentang dia. Kalau nak membeli, dia pergi ke kedai. Maklumat pun cukup sekadar dari Google dan orang-orang terdekat. Dia tak menghilang tapi dia make meaningful connection dengan orang yang dia mahu connect. 


Kita yang melekat di media sosial masih lah sibuk dengan dunia orang lain. Drama penceraian influencer yang tak berkesudahan, drama tentang kisah curang, masalah rumah-tangga orang itu ini, konsumerisme yang melampau sehinggakan rasa serba serbi tak cukup (aku lah tu nak beli tudung, outfit, handbag baru, perabot itu ini), trend-trend Tiktok dan lagu jedag-jedug yang membingitkan telinga. Aku lihat dia sebagai wanita yang rasa cukup dengan serba-serbi. Pakaian yang sederhana, tiada make up tebal dan skincare mahal. Dia selesa dengan caranya. Anak-anaknya sangat menyayanginya.


Aku masih lagi totok media sosial tapi aku perasan aku sudah kurang berkongsi di IG Story tentang kehidupan aku, tentang anak dan kerja aku. Aku suka juga bila kita kelihatan seperti misteri walhal sebenarnya orang lain pun tak peduli tentang keberadaan kita. Yang penting kita rasa content dengan kehidupan kita, bukan kehidupan kita dijadikan content. Mungkin di dunia yang makin bising ini, kita sebenarnya rindu jadi manusia dengan kehidupan sederhana tanpa hiburan yang berlebihan dan ambil tahu tentang hal orang. Ah mungkin sebab itu aku kembali menulis di blog. Aku tak hairan tiada yang membaca kerana tinta ini sekadar luahan rasa hiruk pikuk dunia.

Friday, August 22, 2025

Beberapa bulan lepas (sekitar April 2025), anak aku, Ali (6 tahun) diserang penyakit misteri. Bila anak sakit, memang hati ibu bapa ni tak pernah tenang. Ali demam on-off berpanjangan, sampai kami sendiri pun risau kenapa demam tak kebah-kebah. Kami dah beberapa kali bawa dia ke klinik, ke bahagian kecemasan hospital, tapi keputusan bacaan darahnya normal sahaja. Mula-mula ingat demam biasa, tapi rupa-rupanya penyakit ni ada kaitan dengan telinga tengah yang tak boleh dilihat dari mata kasar. Aku kongsikan pengalaman ni sebab masa mula-mula Ali sakit, aku sendiri tak ada rujukan dan pengalaman jelas untuk dibaca. Harap cerita ni boleh jadi panduan untuk mak ayah lain juga.


Minggu 1-2: Demam On-Off, Tapi Masih Monitor di Rumah

Lebih kurang dua minggu pertama (bermula 16 April 2025), Ali demam on-off. Ada masa kebah, ada masa datang balik. Dia masih boleh bermain dan makan, tapi keadaan dia bila tak bermaya, memang sangat-sangat merisaukan. Kami berulang kali ke klinik untuk 2 minggu pertama sakit tu. Ajaibnya, keputusan darah tak menunjukkan sebarang serangan virus atau bakteria. Pergi ke Bahagian Kecemasan hospital pun, doktor tak kata tiada apa yang merisaukan, jadi tak perlu warded. Doktor hanya berikan ubat demam dan selesema sahaja. Jadi kami fikir mungkin dia penat sekolah atau sakit disebabkan cuaca yang tak menentu.


Minggu 2-3: Perasan Pendengarannya Terganggu

Bila dah masuk minggu kedua, aku mula perasan telinga dia ada masalah. Dia pernah mengadu sakit telinga dan pernah menangis sambil pegang telinga. Aku sekali lagi bawa di ke klinik untuk check telinga di klinik GP. Doktor masukkan alat scan dan kata telinganya tiada kesan jangkitan dan merah-merah. Doktor buat ujian darah sekali lagi tetapi masih menunjukkan bacaan normal.


Tapi mustahil tiada masalah. Kesalahan kami ketika tu adalah pergi ke klinik GP dahulu, walhal tanda-tanda kurang dengar memang dah jelas ketika itu. Waktu bercakap dengan dia, aku perasan dia memang kerap baca gerak bibir aku dan selalu dekatkan telinganya ke bibir, suruh kita ulang beberapa kali. Bila dia dengar radio atau menonton video pun, dia sering naikkan volume. Kadang bila kita panggil pun, dia tak menyahut. Memang rasa ada something wrong somewhere ni sebab dia bukannya tak boleh mendengar sebelum ni.

Wednesday, August 20, 2025
"Macam mana rasanya sambung belajar bila dah bekerja full-time, ada anak kecil dan masa terhad?" Jujurnya, aku pun tak sangka akan survive DIJAP di USIM.

Sejak dari zaman belajar Degree, aku tak pernah bercita-cita nak menjadi seorang peguam syariah. Mungkin sebab pengalaman intern dulu (sekitar tahun 2015-2016), berhadapan dengan kes-kes cerai dan sewaktu dengannya buatkan aku kesian dan rasa drain my energy. Tapi entah kenapa circa 2023, aku tiba-tiba berminat nak sambung belajar Post-grad Diploma Guaman Syarie. Mungkin sebab aku banyak buat kes-kes pentadbir dan estet orang meninggal, aku berminat untuk belajar dan praktis guaman syarie.

Sebelum mula daftar, aku survey dulu universiti-universiti yang ada tawarkan kursus-kursus Diploma Lanjutan Guaman Syarie ni. Diploma ni penting sebab kebanyakan negeri memperuntukkan jika seseorang ingin beramal sebagai Peguam Syarie, mereka perlu mempunyai Diploma Lanjutan ini sebagai syarat permohonan. Ada juga negeri yang tak perlukan diploma ni, contohnya negeri Kelantan.

Ni antara hasil survey aku masa tahun 2023 tu (mungkin sekarang dah berubah). Boleh rujuk pada jadual di bawah perbezaan antara kursus-kursus yang ditawarkan:-

Klik untuk lebih jelas


Tuesday, August 19, 2025

Sejak aku berkhidmat di firma sekarang mulai tahun lepas, aku banyak berhadapan dengan kes-kes pusaka. Mulanya, aku cuma seorang peguam yang berkecimpung dalam soal jual beli hartanah, pendrafan Perjanjian Jual Beli, Perjanjian Sewa, Urusan Melepaskan Gadaian dan sewaktu dengannya. Tetapi sejak bekerja di sini, pengendalian kes-kes pusaka menjadi rutin pula. Jadi, aku garapkan di sini beberapa pengalaman yang aku hadap sepanjang setahun mengendalikan (lebih kepada pengalaman peribadi supaya tak lupa suatu hari nanti). Tulisan panjang, jadi mungkin aku perlu bahagikan tulisan ini kepada beberapa posting.


Pengalaman 1: Waris Enggan, Akhirnya Hak Jua Dituntut


Buka Fail..

Antara kes awal yang aku kendalikan masa mula bekerja di firma ini, aku diarahkan oleh bos untuk membuka fail dan mendraf kertas kausa bagi kes berkenaan seorang balu yang kematian suaminya sejak lebih 15 tahun lepas, yang ingin menjual hartanah tersebut kepada ejen yang berminat untuk membeli. Balu dan arwah suami (simati) tidak mempunyai zuriat, tetapi simati mempunyai adik-beradik lelaki dan perempuan. Jadi, kami akan mewakili balu tersebut bagi urusan Perjanjian Jual Beli dan urusan-urusan di Mahkamah:-

  • Permohonan Perintah Faraid dan Harta Sepencarian di Mahkamah Syariah; serta
  • Permohonan Perintah Pentadbir dan Permohonan Perintah Penjualan di Mahkamah Tinggi (sivil). 

Wednesday, August 4, 2021

Aku sebenarnya lambat tulis pasal berita ni. Tapi takpelah, aku nak tulis jugak sebab blog ni jadi saksi jatuh bangun aku sepanjang belajar di USIM dulu. Aku pernah tulis macam-macam post tentang Tamhidi & Degree Law & Syariah USIM. Aku tamhidi tahun 2011-2012. Degree tahun 2012-2018. Kalau nak baca, boleh je klik kat bawah ni:

CATATAN TAMHIDI (<-- klik)
CATATAN DEGREE (<-- klik)


Alhamdulillah, pada 5 Jun 2021 lalu, USIM akhirnya berjaya mendapat pengiktirafan penuh daripada Legal Profession Qualifying Board (LPQB). Sememangnya ni berita yang sangat-sangat gembira bagi kami! Dah lama senior-senior fight untuk dapatkan pengiktirafan ni kemudian bersambung kepada batch kami dan batch junior-junior.

Poster Makluman daripada USIM
Friday, April 2, 2021

Hari ni ada masa sedikit jadi kami satu keluarga ke Sungai Tekala, Semenyih, Selangor. Sejak duduk Semenyih, ini kali pertama kami jejakkan kaki ke Sungai Tekala. Tapi all my life, I've never been to Sungai Tekala too! Afiq selalu lah dulu lepak dengan kawan-kawan dia waktu sekolah dulu. Bila dengar nak pergi picnic, sis jadi excited okayyy. Pagi-pagi dah goreng kuetiau, goreng ayam, sediakan bakul makanan untuk keluar picnic. Haha


Pukul 2 pm, kami keluar rumah menuju ke Sungai Tekala. Rupa-rupanya jarak Sungai Tekala dari rumah kami cuma 18.6 km sahaja. Boleh pergi selalu ni nampak gaya! Setibanya kami di sana, Afiq park kereta, berjalan belikan tiket dan tinjau keadaan kat dalam. Ada anak kecil ni susah nak redah masuk semua. Jadi Afiq pergi dulu ke pondok tiket untuk tanyakan sama ada kanak-kanak bawah dua tahun boleh masuk atau tidak. Nasib baik boleh. Alhamdulillah.. Tiket masuk RM 2/seorang (dewasa). Car park dia luas, rezeki kitorang dapat parking dekat juga.

Thursday, March 25, 2021

First time bawa Ali ke indoor playground semalam. Search punya search kat google, ada jumpa indoor playground yang dekat sangat dengan area rumah: Aisha Kidz Planet, Ecohill Semenyih. Try lah bawa Ali kat sana, seronok kemain dapat berlari, main itu-ini. Macam-macam toys ada. Sesuai lah untuk Ali sebab dia dah masuk fasa melasak sekarang ni. Habis benda panjat kat rumah. Meja makan, meja, kerusi, peti ais pun dia nak masuk. Hahaha.

Seronok Ali dapat main pasir, main scooping

Sunday, October 25, 2020

Hai semua!

Self-feeding Ali


Sekarang Ali dah 10 bulan, bermakna dah lima bulan Ali terlibat dengan fasa makan-makan. Maka, aku nak share review jujur aku dengan alatan pemakanan Ali. Kira legit lah kan review ni sebab Ali start makan sejak 6 bulan, tapi lima bulan kemudian baru aku rasa nak review baby-gear yang aku guna untuk Ali. Review ni mungkin berguna kepada ibu atau bapa yang baru nak berjinak-jinak dengan penyediaan barangan keperluan untuk anak bila baby dah start makan nanti. Barang-barang ni boleh dibeli di IKEA and I kid you not, you won't regret purchasing these items. 

Monday, October 19, 2020

 Hai semua. Apa khabar?

Sekarang ni di Selangor, KL & Putrajaya tengah PKPB 2.0 kan? Sedih betul tengok kes hari-hari meningkat naik. Aku tengah cuti tanpa gaji dua minggu memandangkan taska tempat aku kerja tutup. Sedih tak dapat gaji tapi apakan daya.. Aku harap Allah cukupkan rezeki untuk kami sekeluarga. Terima kasih suami sebab kerja siang malam untuk sara hidup kami.


Apa pun, harini aku nak share sedikit tentang pengalaman kami ke Aquaria di KL Convention Center pada 7 September 2020 yang lalu. Masa ni tengah PKPP (Pemulihan) jadi boleh bergerak lagi. Disebabkan kami cheapskate, kami cuba cari mana lubuk mana yang menawarkan harga tiket yang paling rendah. So ni summary pencarian perbandingan harga di website Aquaria, Klook & Shopee:



Dannn aku decide untuk beli di Shopee. Tapi Shopee kan banyak shop dan seller, risau juga kalau tak legit. Jadi kena tengok satu-satu review, rating yang okey, kedai mana yang banyak buyer. Maka, kami temui kedai ini -- 

Seller: Travelog (klik --> link)

Saturday, April 18, 2020


Assalamualaikum. Nampaknya nak dekat lima bulan juga aku hiatus daripada menulis blog sejak bulan November hari tu. Alhamdulillah, 24 Disember 2019 hari tu, aku telah selamat melahirkan seorang bayi lelaki. Sekarang baby dah nak masuk 4 bulan. Jadi, untuk post kali ini, aku nak sematkan pengalaman bersalin kali pertama yang takkan aku lupakan sampai bila-bila. Mungkin post ini agak panjang kerana aku akan menceritakan secara detail mengikut kronologi. Maklumlah, pengalaman bersalin ni bukanlah sesuatu yang aku mahu lupakan.
Tuesday, November 26, 2019
Sebenarnya dah lama nak tulis post ni tapi asyik tergendala je.

Pada 8 Ogos (Khamis) dan 9 Ogos (Jumaat) 2019 hari tu, sebelum raya haji, aku dan Afiq sempat bercuti ke Cameron Highlands. Kami bergerak dari Kota Bharu, Kelantan. So, perjalanan adalah dari Kota Bharu ke Gua Musang ke Lojing dan terus ke Cameron Highlands. Perjalanan mengambil masa hampir 5 jam. Kami bertolak pada lebih kurang 10 pagi dan tiba pada pukul 2 petang lebih.

Setibanya di Cameron, kami check-in apartment yang dah pun ditempah melalui Agoda di Brinchang. Aku book Dreamscape Apartment @ Golden Hills, dengan harapan dapat menikmati suasana pasar malam sebab apartment ni betul-betul di hadapan tapak pasar malam. Tapi malangnya, pasar malam tidak beroperasi pada hari weekdays. Hahahahampehhh! Macam mana lah boleh terlepas pandang part tu. Huhuhu.

Sampai je kami terus check-in di pejabat apartment

Saturday, November 2, 2019
Sepanjang 33 minggu hamil, aku selalu diingatkan untuk minum susu. Setiap kali pergi check-up di KK, nurse tak pernah miss tanya, "awak minum susu tak? Berapa kali sehari? Okay bagus.. Pastikan selalu minum susu sekurang-kurangnya 2-3 gelas sehari.."

Persoalan di sini, kenapa kena minum susu?

  • Susu Mengandungi Sumber Kalsium yang Penting: Wanita hamil memerlukan lebih 1000 mg kalsium setiap hari. Satu cawan susu roughly mempunyai 300 mg kalsium. Maka, lebih kurang 3 cawan susu diperlukan untuk tampung keperluan tersebut. Kenapa kalsium penting? Kalsium ni lah yang berperanan untuk pembentukan gigi dan tulang serta merangsang saraf dan otot bayi.
  • Mengurangkan Masalah Kehamilan: Waktu mengandung, wanita ni selalu rasa pedih ulu hati dan gastrik. Jadi, susu lah yang berperanan untuk kawal simptom ni sebab susu adalah sejenis antasid.
  • Menggalakkan Perkembangan Janin: Protein yang terdapat dalam susu ni berperanan terhadap pembentukan rahim, darah dan tisu bayi. Bukan tu je, susu ada zat yang penting seperti folat dan DHA yang berperanan dalam pembentukan saraf serta otak janin.
  • Mencegah Risiko Bayi Kurang Berat: Selain kalsium, susu juga mempunyai sumber vitamin D iaitu nutrisi untuk mencegah bayi daripada masalah kurang berat. Pengambilan susu boleh mengurangkan risiko multiple sclerosis (kompilasi saraf pada bayi).
  • Manfaat Jangka Masa Panjang untuk Anak: Kebaikan minum susu ni bukannya untuk bayi semasa dalam kandungan je.. Susu ni juga untuk memberi kesan terhadap perkembangan anak dalam jangka masa panjang. Ada satu kajian mengatakan, wanita hamil yang minum sekurang-kurangnya 150 ml susu setiap hari berpotensi dapat anak yang lebih tinggi dan cepat berkembang. Anak juga memiliki tahap insulin yang tinggi sekaligus mengurangkan risiko diabetes tahap 2.
Thursday, October 24, 2019
Sejak jadi suri rumah sepenuh masa, aku rajin betul masak. Bukan apa, daripada duduk rumah goyang kaki, ada baiknya kalau memasak kan? Senang hati suami bila kita rajin masak. Kita jugak yang nak makan. Lagipun, bila masak untuk dua orang ni, perbelanjaan makan sangat-sangatlah jimat. Kalau tak, sekali makan untuk dua orang, paling kurang pun adalah RM 20. Tu untuk sekali makan, makan berat sekurang-kurangnya dua kali sehari, darab pula untuk seminggu, gandakan dengan sebulan.. tak sanggup rasanya nak jumlahkan semuanya. Baik lah beli barang dapur dan masak sendiri sahaja. 

Aku ni nak kata reti masak sangat tu tak lah. Tapi aku suka mencuba masakan-masakan baru dari sebelum kahwin lagi. Cuma tak rajin masak sahaja. Dengan lambakan media sosial yang ada sekarang ni, sangat senang untuk cuba memasak. Asalkan ada bahan dan keazaman, insyaAllah menjadi je. Alhamdulillah juga, aku dikurniakan seorang suami yang tak demand bab makan dan sangat suka masakan-masakan yang aku masak. 

Antara page atau figura media sosial yang aku suka follow adalah Khairulaming & Che Nom. Aku rasa tak ada orang tak kenal dua figura ni. Khairulaming aku suka follow sebab resipi masakan dia bagi sangat simple dan mudah untuk diikut. Aku pernah cuba beberapa resipi yang diberi, nak kata 100% menjadi macam dia buat tu tak lah.. tapi boleh lah nak makan dan rasa pun not bad. Hehe. Suami aku pun sekarang dah pandai request masakan bila dia nampak post-post terbaru daripada Khairulaming.
Rasanya tak terlambat lagi nak ceritakan pengalaman aku sebagai expectant mother dalam persiapan menyediakan barang-barang untuk newborn dan kegunaan sendiri lepas bersalin nanti. Sekarang dah 32 minggu, maksudnya ada lagi lebih kurang lapan minggu sebelum bersalin. Hehe. Sangat teruja sebenarnya nak sediakan barang-barang baby. Aku banyak baca dan survey barang keperluan sebelum membeli sebab taknak tersilap langkah. Maklumlah, barang-barang baby ni bukannya murah. Ada je benda-benda yang kita teruja nak beli tapi tak perlu pun sebenarnya. Jadi ni aku senaraikan keperluan yang betul-betul perlu untuk newborn dan keperluan ibu.
Sunday, October 13, 2019
Sepanjang mengandung, aku pernah mengalami fasa-fasa bacaan sel darah merah menurun. Mungkin sebab aku tak disiplin makan ubat atau vitamin. Atau mungkin juga kandungan bahan dalam ubat-ubatan tersebut tidak mencukupi. Jadi hari ni, aku nak bebel sedikit sebanyak tentang masalah hemoglobin menurun dan vitamin pre-natal yang aku telah cuba.

Seperti yang semua maklum, pengambilan pil hematinik (vitamin pre-natal) ketika mengandung adalah sangat penting. Sebelum mengandung, aku antara orang yang selalu menderma darah jadi bacaan hemoglobin (Hb) aku sentiasa berada di paras yang normal iaitu 12.0 g/dl ke atas. Tetapi sejak mengandung, bacaan Hb aku agak lari bacaannya. Nurse dah letakkan aku di bawah kategori 'Mild Anemia' di hadapan buku pink aku sebab aku berisiko untuk mendapat anemia ketika mengandung. Persoalannya di sini, bahayakah anemia ketika mengandung?

Okay, aku taknak ulas panjang tentang sains dan kesihatan. Biarlah mata pelajaran Biologi yang belajar di sekolah dulu menjadi basic knowledge sahaja. Hemoglobin (Hb) atau sel darah merah tugasnya membawa oksigen ke seluruh badan. Jadi sifirnya, jika kurang Hb, kuranglah oksigen di dalam badan. Bila kurang oksigen, impaknya kepada tubuh kita, kita akan jadi lesu dan tak bermaya, cepat berasa penat dan boleh mengakibatkan pelbagai masalah kesihatan. Bayangkan pula kalau mengandung, anda membawa dua nyawa. Nyawa anda dan bayi.. Jadi sekiranya anda mengalami anemia, kesannya terhadap ibu adalah: keguguran, tumpah darah semasa dan selepas bersalin, dan kematian. Manakala risiko anemia kepada bayi: tumbesaran dan perkembangan bayi terbantut, kelahiran bayi kurang berat badan, kelahiran tidak cukup bulan dan bayi meninggal di dalam kandungan.
Thursday, October 3, 2019
Dah dua bulan rupa-rupanya tak kemaskini blog. Hari tu kononnya janji nak update result minum air gula macam tulis dalam post ni (klik) tapi sebab lately agak busy adjust kehidupan, baru sempat nak update blog.

KEPUTUSAN MGTT

Minum air gula hari tu 15 Ogos 2019, masa kandungan berusia 21 minggu.
27 Ogos 2019 ada check-up di KK Bangi tapi malangnya keputusan masih belum dapat.
Maka 4 September 2019 baru sempat ambil keputusan ujian MGTT di KK Nilai.

Alhamdulillah, keputusan MGTT normal.
  • Sebelum minum air gula (Fasting Blood Sugar): 4.0 mmol/L
    • [Reference Range: 3.5 - 6.0 mmol/L]
  • Selepas dua jam minum air gula (2-Hour Postprandial): 5.8 mmol/L
    • [Reference Range: 3.9 - 6.7 mmol/L]

Tuesday, August 20, 2019
Okay, dalam post sebelum ni, aku ada ceritakan tentang pengalaman untuk buka buku pink. Boleh klik sini untuk baca. Kali ni aku ceritakan pula prosedur minum air gula (MGTT) di Klinik Kesihatan (KK) Nilai. Usia kandungan aku 21 minggu aku kena minum air gula. Mungkin disebabkan berat badan aku naik mendadak sepanjang mengandung dan aku berumur 25 tahun ke atas.

Seperti yang diceritakan dalam post lepas, sebenarnya aku check-up di KK Bangi. Namun, prosedur minum air gula agak mengambil masa. Jadi, aku minta dengan nurse KK Bangi untuk tumpang minum air gula di KK Nilai memandangkan aku bekerja di Nilai. Kalau boleh, taknak lah ambil cuti. Nurse kata kena tanya KK Nilai boleh ke tumpang. Kalau di KK Bangi, minum air gula adalah pada hari Jumaat sahaja. Hari Rabu minggu lepas, aku ke KK Nilai untuk bertanya tentang prosedur sekiranya mahu menumpang. Nurse kata MGTT di situ adalah pada hari Selasa dan Khamis sahaja. Aku minta untuk buat MGTT kesokannya (15 Ogos 2019). Aku daftar dengan nurse di KK (perlu bawa buku pink dan kad pengenalan) dan beliau mengisi borang minum air gula. Borang macam kat bawah ni. 
Borang MGTT

Monday, August 19, 2019
Assalamualaikum semua.

Minggu ni dah masuk 22 minggu aku mengandung. Alhamdulillah segala puji bagi Allah, ditakdirkan aku bunting pelamin. Rezeki yang sangat tak disangka-sangka. Bila masuk trimester kedua ni, hilang segala alahan dan dah boleh kembali makan makanan-makanan yang aku suka makan sebelum mengandung macam oat, makanan sup dan stim dan sebagainya. Masa trimester pertama, aku agak tidak berselera makan. Makan pun sedikit je. Bila dah mula berselera, aku sangat-sangat suka makan nasi lemak sambal sotong, nasi kari mamak, air hausboom serta air sparkling yang lain dan makanan-makanan kesukaan suami aku. Padahal sebelum ini aku sangatlah elakkan makanan bergoreng dan berminyak. Tapi alhamdulillah, sekarang selera sudah kembali menjadi 'Hanis' semula. Hihi.

Buku Pink ft. Gambar Scan (19 Minggu)
Friday, August 16, 2019
Okay, dalam post yang lepas, aku ada berikan ulasan ringkas berkenaan telefon Samsung Galaxy A30, jadi kali ni aku ada nak cerita satu insiden yang berlaku. Pada 15 Julai hari tu berlaku satu insiden yang tak diingini bila aku tak sedar yang telefon aku dekat riba masa aku bangun daripada seat kereta. Maka, telefon tu jatuh dengan agak kuat dekat atas jalan tar. Cover telefon dah agak tebal tetapi memandangkan cover telefon tidak menutupi bahagian kamera telefon, maka lens telefon aku retak! Hancurrr hati aku tengok lens kamera retak. Dah lah aku jenis suka ambil gambar. Aku terpaksa menerima berita ni dengan hati yang hiba. Aku tak ambil gambar lensa retak, tapi kawasan retaknya seperti dalam gambar di bawah.

Lens kamera retak di kawasan yang bertanda kuning tu. Masih boleh ambil gambar tapi efek gambar agak glaring dan blur. Memang susah nak fokus lah pendek kata. Maklumlah retak pula di bahagian kamera utama. Sobsss.

Thursday, August 15, 2019
Samsung Galaxy A30 (Blue)

Alkisahnya, aku baru sahaja membeli sebiji telefon bimbit jenama Samsung Galaxy A30 pada 30 Mei lepas di J&B Gadget Enterprise, Kipmall Bangi (Warta Bangi). Aku beli telefon ini sebab aku nak jual telefon lama aku iaitu Xiaomi Redmi Note 5A Prime kepada acik cleaner di tempat kerja aku di samping aku ingin upgrade telefon kepada yang lebih molek memandangkan storan telefon agak kecil (32 GB). Acik cleaner mengadu telefon bimbitnya tidak dapat install aplikasi seperti MyCar, Facebook & WhatsApp. Jadi, atas belas ihsan, aku menjual telefon bimbit tersebut menepati harga yang mampu dibayarnya. Semoga bermanfaat Cik Suzy! Hihi

Xiaomi Redmi Note 5A Prime bersama tuan barunya!