Hari tu aku sempat meluangkan masa dengan sahabat baik aku ketika belajar. Seperti biasa, bila lama tak bertemu, masing-masing bercerita tentang kehidupan masing-masing. Aku sekarang lebih suka menadah telinga dan mendengar berbanding cerita mengenai diri sendiri. Sekali-sekala aku buka juga cerita tentang peribadi aku. Aku lagi berminat nak tahu mengenai hal hidupnya. Lebih-lebih lagi dia sudah menjadi ibu tunggal kepada dua orang anak yang masih kecil. Jika nak dibandingkan susah aku dan susah dia, aku seperti tiada apa mahu diadukan.
Sejak bercerai, dia sudah padam akaun media sosial. FB, IG, Thread, X, Tiktok semua tak ada. Shopee pun dia tak install. Dia memang tak hiraukan pada semua benda tu. Fokus dia adalah bekerja dan membesarkan anak-anak dia. Somehow aku rasa benda tu sangat liberating. Dia tak perlu ambil tahu tentang orang, orang pun tak perlu ambil tahu tentang dia. Kalau nak membeli, dia pergi ke kedai. Maklumat pun cukup sekadar dari Google dan orang-orang terdekat. Dia tak menghilang tapi dia make meaningful connection dengan orang yang dia mahu connect.
Kita yang melekat di media sosial masih lah sibuk dengan dunia orang lain. Drama penceraian influencer yang tak berkesudahan, drama tentang kisah curang, masalah rumah-tangga orang itu ini, konsumerisme yang melampau sehinggakan rasa serba serbi tak cukup (aku lah tu nak beli tudung, outfit, handbag baru, perabot itu ini), trend-trend Tiktok dan lagu jedag-jedug yang membingitkan telinga. Aku lihat dia sebagai wanita yang rasa cukup dengan serba-serbi. Pakaian yang sederhana, tiada make up tebal dan skincare mahal. Dia selesa dengan caranya. Anak-anaknya sangat menyayanginya.
Aku masih lagi totok media sosial tapi aku perasan aku sudah kurang berkongsi di IG Story tentang kehidupan aku, tentang anak dan kerja aku. Aku suka juga bila kita kelihatan seperti misteri walhal sebenarnya orang lain pun tak peduli tentang keberadaan kita. Yang penting kita rasa content dengan kehidupan kita, bukan kehidupan kita dijadikan content. Mungkin di dunia yang makin bising ini, kita sebenarnya rindu jadi manusia dengan kehidupan sederhana tanpa hiburan yang berlebihan dan ambil tahu tentang hal orang. Ah mungkin sebab itu aku kembali menulis di blog. Aku tak hairan tiada yang membaca kerana tinta ini sekadar luahan rasa hiruk pikuk dunia.
Would you like to comment?