Explore the blog
Friday, August 22, 2025

Tentang Masalah Pendengaran Anak & Adenoid Removal Surgery

Beberapa bulan lepas (sekitar April 2025), anak aku, Ali (6 tahun) diserang penyakit misteri. Bila anak sakit, memang hati ibu bapa ni tak pernah tenang. Ali demam on-off berpanjangan, sampai kami sendiri pun risau kenapa demam tak kebah-kebah. Kami dah beberapa kali bawa dia ke klinik, ke bahagian kecemasan hospital, tapi keputusan bacaan darahnya normal sahaja. Mula-mula ingat demam biasa, tapi rupa-rupanya penyakit ni ada kaitan dengan telinga tengah yang tak boleh dilihat dari mata kasar. Aku kongsikan pengalaman ni sebab masa mula-mula Ali sakit, aku sendiri tak ada rujukan dan pengalaman jelas untuk dibaca. Harap cerita ni boleh jadi panduan untuk mak ayah lain juga.


Minggu 1-2: Demam On-Off, Tapi Masih Monitor di Rumah

Lebih kurang dua minggu pertama (bermula 16 April 2025), Ali demam on-off. Ada masa kebah, ada masa datang balik. Dia masih boleh bermain dan makan, tapi keadaan dia bila tak bermaya, memang sangat-sangat merisaukan. Kami berulang kali ke klinik untuk 2 minggu pertama sakit tu. Ajaibnya, keputusan darah tak menunjukkan sebarang serangan virus atau bakteria. Pergi ke Bahagian Kecemasan hospital pun, doktor tak kata tiada apa yang merisaukan, jadi tak perlu warded. Doktor hanya berikan ubat demam dan selesema sahaja. Jadi kami fikir mungkin dia penat sekolah atau sakit disebabkan cuaca yang tak menentu.


Minggu 2-3: Perasan Pendengarannya Terganggu

Bila dah masuk minggu kedua, aku mula perasan telinga dia ada masalah. Dia pernah mengadu sakit telinga dan pernah menangis sambil pegang telinga. Aku sekali lagi bawa di ke klinik untuk check telinga di klinik GP. Doktor masukkan alat scan dan kata telinganya tiada kesan jangkitan dan merah-merah. Doktor buat ujian darah sekali lagi tetapi masih menunjukkan bacaan normal.


Tapi mustahil tiada masalah. Kesalahan kami ketika tu adalah pergi ke klinik GP dahulu, walhal tanda-tanda kurang dengar memang dah jelas ketika itu. Waktu bercakap dengan dia, aku perasan dia memang kerap baca gerak bibir aku dan selalu dekatkan telinganya ke bibir, suruh kita ulang beberapa kali. Bila dia dengar radio atau menonton video pun, dia sering naikkan volume. Kadang bila kita panggil pun, dia tak menyahut. Memang rasa ada something wrong somewhere ni sebab dia bukannya tak boleh mendengar sebelum ni.


Ujian Pendengaran Bersama Audiologist

Play-Audiometry Test

11 Mei 2025: Kami bawa dia ke Dr. Hearing & Speech Centre di Kota Bharu untuk berjumpa dengan Audiologist. Audiologist ada buat ujian play-audiometry untuk menentukan sama ada pendengaran bermasalah atau tidak. Ujian tu senang sahaja dan sangat mesra kanak-kanak. Ali kena buat aktiviti menggunakan toys apabila dia mendengar bunyi. Kita boleh lihat daripada ujian tu, bila bunyi slow, Ali tak dapat tangkap, padahal kita yang lain ni dengar je bunyi tu. Ujian tu dijalankan kira-kira sejam juga. Bila audiologist perasan Ali punya pattern, audiologist sarankan untuk kami add-on ujian menggunakan alat pengesan untuk detect sekiranya ada masalah di bahagian telinga tengah. Berdasarkan graf keputusan alat tersebut, memang masalah tersebut berpunca dari bahagian telinga tengah. Tetapi audiologist tak boleh diagnose penyakit dan beritahu punca. Mereka hanya boleh buat laporan sahaja. Sebarang diagnosis perlu dilakukan oleh Pakar ENT.


Rujukan ke Pakar ENT

12 Mei 2025: Kami berjumpa dengan Pakar ENT di Hospital Islam Az-Zahrah Bangi. Doktor pakar masukkan kamera di hidung dan telinga, dan sahkan yang Ali mengalami Middle Ear Effusion (MEE) iaitu ada cecair di bahagian telinga tengah. Cecair tersebut menyebabkan Ali tak dapat mendengar dengan baik. Macam mana boleh ada cecair? Sebab adenoid membesar telah menyebabkan saluran telinga ke hidung tersumbat dan menyebabkan cecair tu terperangkap di situ. Untuk peringkat awal, doktor bagi ubat titis telinga, ubat spray hidung serta ubat makan. Doktor akan monitor sama ada adenoid tersebut akan mengecil atau tak. Sekiranya tak mengecil, Ali perlu dibedah untuk buang adenoid tersebut.


Kedudukan adenoid tu di sini. Kita jarang tahu tentang adenoid sebab adenoid tak nampak dari luar macam tonsil. Kena guna kamera doktor ENT baru nampak



Adenoid tu terletak di sini. Bila adenoid tu menghalang lubang eustachian tube ke telinga, cecair di telinga terperangkap dan menyebabkan masalah pendengaran. Adenoid yang membesar juga menyebabkan masalah pernafasan

Bila dengar macam tu, kami minta doktor refer ke hospital yang cover medical card Ali memandangkan Hospital Az-Zahrah tak ada panel AIA. Jadi, doktor rujuk kami ke pakar ENT Hospital Pakar An-Nur, Bangi.


31 Mei 2025: Kami ke Hospital Pakar An-Nur dan berjumpa dengan Dr. Atiqah Farah untuk kali pertama. Dr. Atiqah Farah memang specialist ENT dan paeds. Jadi layanan dia terhadap pesakit kanak-kanak memang sangat-sangat baik. Ali pun bagi kerjasama waktu Dr. Atiqah masukkan kamera dalam hidung, telinga dan tekak. Doktor kata adenoid masih visible dan besar walaupun dah guna ubat spray hidung dan titis dalam telinga. Kami tanya juga apa punca adenoid boleh membesar? Doktor kata adenoid membesar sebab kerap berlaku infection dan mungkin juga sebab alergik.


Jadi, doktor terus set tarikh untuk prosedur minor operation adenoid removal dan myringotomy. Sementara menunggu tarikh operation, doktor bekalkan ubat titis telinga, ubat selesema dan ubat spray hidung. 


Hospital An-Nur ni senang nak mohon GL. Selesai check-up dengan doktor, nurse akan minta kita isi borang dan mereka sendiri akan submit dan mohon GL daripada pihak AIA. Dalam masa seminggu, kami terima SMS daripada AIA yang GL sudah diluluskan.


Hari Pembedahan

13 Jun 2025: Kami admit di Hospital Pakar Annur. Ali perlu menjalani pembedahan buang adenoid tissue. Kami admit pukul 7.45 pagi, pukul 10 pagi Ali dah ditolak masuk ke OT. Lebih kurang pukul 2 petang, Ali keluar dari OT. Keadaanya agak lemah disebabkan ubat bius sebelum surgery. Tapi menghala ke petang, dia dah makin aktif dan berselera makan. Malam pun dia tiada masalah tidur, tak ada demam dan muntah. 


Lepas prosedur, Dr. Atiqah masuk ke bilik dan explain yang Ali mengalami adenoid Grade 3, dan maklumkan yang dua jenis prosedur telah dilakukan ke atas Ali, iaitu: 1) Adenoid Tissue Removal; dan 2) Bilateral Myringotomy & Grommet Insertion (sedut cecair keluar dari kedua-dua belah telinga dan pasang tiub kecil (grommet) pada gegendang telinga)


Ali kena Grade 3. Boleh nampak ruang kecil sahaja yang tinggal.
Sebab tu pernafasan dan pendengaran dia merosot


Doktor maklumkan sewaktu prosedur tu, yang ambil masa sebenarnya adalah untuk sedut cecair keluar dan pasang grommet tu sebab gegendang telinga budak sangat kecil. Cecair dalam telinga tengah pun banyak juga. Prosedur buang adenoid tu tak ambil masa yang lama pun. Kami boleh discharge pada hari tersebut. Jadi cuma semalaman sahaja kami di hospital. Mujur ada medical card. Total keseluruhan rawatan RM15,802.49, kami perlu bayar RM442.82 untuk bayaran pendaftaran dan deductible. Doktor ada beri beberapa jenis ubat termasuk ubat cuci hidung, ubat titis telinga, ubat selesema dan antibiotik. 

Ubat yang kami dapat sewaktu discharge


Post-Surgery

30 Jun 2025: Follow-up post surgery. Alhamdulillah keadaan Ali dah bertambah baik. Pertama kali kita tengok grommet tu ada pada gegendang telinga dia. Dr. Atiqah tunjuk juga video sewaktu pembedahan tu. Memang nampak banyak sangat cecair yang disedut. Doktor maklumkan yang grommet tu akan tertanggal sendiri, mungkin ambil masa selama setahun juga untuk dia tertanggal sendiri. Fungsi grommet ni adalah seperti paip, untuk alirkan baki-baki cecair dari dalam telinga keluar. Kami hanya perlu lap-lap sahaja telinga dia. Doktor sarankan juga untuk kami cuci hidung Ali menggunakan air garam (sinus rinse). Tujuan cuci hidung ni adalah untuk meredakan hidung tersumbat dan mengurangkan gejala sinus (resdung). Doktor kata juga kami perlu follow-up dalam masa setahun ni sebab apabila adenoid sudah tiada, kemungkinan bakteria akan menyerang bahagian tonsil pula. Jika tonsil pula bengkak sampai tahap tidak normal, perlukan rawatan selanjutnya. Kalau tak rawat, akan bagi kesan pada riak muka, pernafasan & sebagainya.

Keadaan beberapa minggu selepas prosedur.
Yang putih tu lah grommet

***********

Aku share tentang pengalaman ni di FB dan IG aku sebelum ni. Tak sangka ramai juga yang tak tahu tentang sakit ni. Ada juga yang kata dia perasan anaknya kerap tak dengar, tapi dia ingat tahi telinga sahaja yang keras, dan mula protes. Kalau tak berlaku pada Ali, mungkin aku pun tak tahu. Disebabkan sakit ni, kami suami isteri belajar banyak sangat dan menjadi lebih peka dengan simptom sakit dia.


Aku tulis post ni sekarang bulan 8 tahun 2025. Apa yang aku boleh rumuskan, wang kami suami isteri memang banyak sangat habis untuk berubat anak. Kami bukannya bekerja yang ada medical coverage untuk berjumpa pakar. Untuk jumpa GP, tempat kerja suami ada lah cover sedikit sebanyak. Tapi bila tengok anak makin sihat, memang rasa berbaloi sangat habiskan duit untuk merawat anak. Risau jika masalah pendengaran berterusan, boleh menyebabkan dia ada masalah pembelajaran sebab tak dengar dan tak faham cikgu ajar. Risau juga kalau dia dibuli oleh rakan-rakan sebaya dan digelar 'pekak'. 


Kami baru tahu juga yang adenoid ni jika tak dirawat, boleh menyebabkan perkara berikut terjadi:-

  1. Facial feature berubah sebab bila adenoid membesar, pesakit akan ada masalah kesukaran bernafas, dan memerlukan pernafasan mulut. Bila banyak bernafas guna mulut, akan menyebabkan facial feature pun berubah;
  2. Adenoid juga menyebabkan masalah berat badan sukar bertambah. Bila bernafas guna mulut dan kita pun makan melalui mulut, pesakit adenoid sebenarnya banyak 'makan angin'. Jadi dia cepat kenyang sebab dia rasa aktiviti makan itu adalah sesuatu yang memenatkan;
  3. Pesakit berdengkur sebab rongga pernafasan terganggung disebabkan oleh adenoid yang membesar;
  4. Kesukaran belajar dan bekerja sebab masalah pendengaran.

Apa yang aku perasan lepas dah buat pembedahan ni adalah: 
  1. Pendengaran dah makin baik;
  2. Ali dah makin seronok belajar dalam kelas. Sebelum ni, dia adalah antara pelajar yang sangat pemalu dan pasif. Sekarang dia dah boleh bergaul dan bertanya dengan aktif dalam kelas;
  3. Selera makan sangat-sangat bertambah. Happy sangat tengok berat dia makin naik, dia pun suka makan. Sekejap-sekejap asyik lapar je.


TL;DR Simptom Anak Ada Masalah Telinga/Adenoid:

  • Demam kerap berulang
  • Telinga sakit / anak selalu pegang telinga
  • Tidur tak lena, kadang berdengkur
  • Dengar macam kurang jelas / lambat respon bila dipanggil
  • Selesema atau hingus tak habis-habis

👉 Kalau ada gabungan simptom ni, jangan anggap benda remeh. Baik terus check dengan ENT


Semoga post ni dapat membantu sedikit sebanyak untuk siapa-siapa yang alami!




Would you like to comment?