Explore the blog
Monday, August 19, 2019

Prosedur Buka Buku Pink di Klinik Kesihatan Bangi

Assalamualaikum semua.

Minggu ni dah masuk 22 minggu aku mengandung. Alhamdulillah segala puji bagi Allah, ditakdirkan aku bunting pelamin. Rezeki yang sangat tak disangka-sangka. Bila masuk trimester kedua ni, hilang segala alahan dan dah boleh kembali makan makanan-makanan yang aku suka makan sebelum mengandung macam oat, makanan sup dan stim dan sebagainya. Masa trimester pertama, aku agak tidak berselera makan. Makan pun sedikit je. Bila dah mula berselera, aku sangat-sangat suka makan nasi lemak sambal sotong, nasi kari mamak, air hausboom serta air sparkling yang lain dan makanan-makanan kesukaan suami aku. Padahal sebelum ini aku sangatlah elakkan makanan bergoreng dan berminyak. Tapi alhamdulillah, sekarang selera sudah kembali menjadi 'Hanis' semula. Hihi.

Buku Pink ft. Gambar Scan (19 Minggu)
Okay, kembali kepada topik asal. Kenapa rasa nak tulis topik ni? Masa awal-awal buka buku pink, aku pun refer kat blog-blog serta posting di Facebook. Almaklumlah, aku sangat noob.. nak-nak ini merupakan kandungan kali pertama (primigravida). Jadi, bila baca blog-blog tersebut, aku rasa sangat bersyukur sebab banyak perkara yang aku dapat. Untuk posting kali ini, aku kongsikan pula pengalaman aku sendiri semasa buka buku pink pula supaya aku tak lupa prosedur ini pada kemudian hari. Mana lah tahu lepas ni anak seterusnya pulak kan?

  • Buka buku pink di Klinik Kesihatan (KK) berhampiran dengan kawasan tempat tinggal anda
Memandangkan aku menetap di Bandar Baru Bangi sekarang ni, KK berdekatan adalah Klinik Kesihatan Bangi di Sekyen 3. Aku pernah ke KK Nilai memandangkan aku bekerja di Nilai. Senang sikit sekiranya nak pergi check-up nanti. Tapi KK Nilai reject dan kata aku perlu buka buku di KK Bangi. Huhu.

Bila dah buka di KK Bangi, barulah aku tau yang rupa-rupanya setiap kawasan terbahagi kepada beberapa zon dan zon-zon tersebut dijaga oleh jururawat-jururawat yang berlainan. Jadi pecahan-pecahan ini memudahkan mereka untuk melakukan pemeriksaan kepada ibu-ibu dan anak-anak. Maklumlah, ramai kot orang yang mereka kena monitor.

KK Bangi, Seksyen 3, Bandar Baru Bangi

  • Ingat Tarikh Hari Pertama Period Terakhir (LMP)
Last Menstrual Period atau ringkasnya LMP. Ini adalah sangat penting sebab LMP ini lah yang akan menentukan tarikh jangkaan bersalin (Expected Due Date - EDD). Nurse memang akan tanya bila LMP korang. So, kena be prepared dan ingat sentiasa. Cara nak tentukan usia kandungan juga adalah berdasarkan LMP. Kalau kes aku ni, walaupun aku kahwin 30 Mac, LMP aku adalah pada 10 Mac 2019. Jadi, kandungan aku lagi 'berusia' daripada usia perkahwinan aku. Harap-harap tak dipandang serong. Ada juga orang yang tak  faham sebenarnya. Huhu.

  • Buka buku sebelum kandungan berusia 12 minggu
Menurut hasil pembacaan aku, serah diri ke KK sebelum kandungan berusia 12 minggu adalah lebih baik. Aku buka buku pada 9 minggu. Rupa-rupanya bila scan, kandungan aku berusia 8 minggu 5 hari. Okay lah tu, tak jauh sangat beza dengan tarikh hari pertama period terakhir (LMP) aku. Cuma bila buka buku awal ni, kena commit lebih lagi masa untuk datang ke KK tiap-tiap bulan lah.

Tapi tak ada masalah. Bila kita ada buku pink, nescaya kita akan jadi lebih bersemangat dan lebih menjaga diri dan kandungan gituuu.. Aku jakun juga masa mula-mula buka buku. Hampir semua maklumat dalam buku aku baca dan khatam. Hehe.

  • Apa yang perlu anda bawa dan lakukan untuk membuka buku?
Bila nak buka buku, di setiap KK lain prosedur rupa-rupanya. Aku baca di blog, ada yang perlu bawa kad pengenalan, sijil nikah, bil air atau elektrik, surat pengesahan doktor yang mengatakan anda pregnant atau UPT kit dan sebagainya. Tapi di KK Bangi simple sahaja. Anda hanya perlu membawa kad pengenalan dan pengesahan mengandung sahaja. Jadi, aku bawa gambar scan ketika itu (in case mereka minta) dan ya, nurse gunakan gambar tersebut sebagai sebab utama untuk buka buku.
*Untuk pengetahuan semua, aku tak pernah check UPT di klinik. Selama ini, aku hanya beli strip kit dan test sendiri. Sebab tu suami aku agak sangsi betul ke aku mengandung sebab aku tak pernah dapat declaration "Tahniah, puan hamil.." daripada doktor. Hahaha. Masa mula-mula pregnant, aku ada juga bleeding. Aku rujuk doktor di tempat aku bekerja. Doktor kata tu darah implantation dan doktor kata confirm lah tu pregnant sebab dah dua kali buat UPT dan naik dua line. Tetapi disebabkan bleeding (discharge warna coklat pink) itu kerap juga berlaku, suami aku ajak aku scan di Klinik As-Salam Bangi untuk mengesahkan kandungan. Takut juga apa-apa berlaku. Alhamdulillah, akhirnya suami aku dengar sendiri daripada mulut doktor yang aku hamil apabila doktor kata nampak kantung kandungan walaupun janin masih belum visible.

Suasana menunggu setiap kali check-up
Prosedur Buka Buku di KKIA Bangi, Seksyen 3
  1. Set appointment dengan KK sama ada melalui telefon atau pergi ke KK tersebut. Ini dapat menjimatkan masa menunggu dan save daripada ambil cuti tahunan (sekiranya bekerja). Pengalaman aku hari tu, aku tak set appointment, aku terjah je datang hari Isnin. Sudahnya, aku terpaksa datang semula pada Rabu minggu yang sama memandangkan hari Isnin tersebut sudah ramai.
  2. Beri kad pengenalan untuk pendaftaran dan ambil nombor. Tunggu sehingga nombor anda dipanggil.
  3. Nurse bertugas akan mengisi butiran di buku pink. Untuk makluman, buku pink ni ada 2 salinan. Satu salinan untuk klinik dan satu untuk ibu. Pelbagai soalan yang meliputi data-data personal, riwayat kesihatan keluarga dan suami akan disoal dan diisi di dalam buku tersebut. Ini untuk memastikan tahap kesihatan anda sama ada anda ada penyakit keturunan seperti darah tinggi, kencing manis dan sebagainya atau tidak.
  4. Nurse akan memeriksa berat badan, tekanan darah (blood pressure), mengambil sample darah dan menyuruh anda mengambil sample air kencing.
    • Berat badan untuk mengetahui BMI anda dan juga untuk merekod bacaan berat semasa buka buku. Ini penting untuk tahu berapa jumlah kenaikan berat sepanjang mengandung.
    • Sample darah tersebut akan diuji dengan 4 ujian (VDRL, Full Blood Count, HIV Rapid Test, Blood Grouping)
    • Sample air kencing untuk mengetahui sekiranya ada protein di dalam air kencing. Nurse akan bagi paper cup untuk ambil sample air kencing tersebut.
  5. Hantar sample darah dan urine ke makmal.
  6. Doktor gigi akan memeriksa gigi.
  7. Nurse akan melakukan pemeriksaan buah dada dan perut untuk mengetahui sekiranya ada lump di kawasan tersebut.
  8. Nurse akan memberikan sedikit penerangan, do's and dont's ketika mengandung. Nurse tersebut juga menerangkan yang beliau akan bertugas untuk menjaga kita sepanjang tempoh check-up. Jadi adalah wajib untuk menyampaikan apa-apa masalah kesihatan sekiranya ada untuk beliau catatkan dalam buku tersebut. 
  9. Selesai dengan nurse, tunggu sehingga nombor dipanggil semula untuk berjumpa dengan doktor.
  10. Doktor melakukan scan kali pertama dan sesi konsultasi bersama doktor.
    • Menurut doktor, scan akan dilakukan sebanyak tiga kali di KK. Pertama, semasa buka buku untuk mengetahui tarikh jangkaan bersalin (EDD). Kedua, pada minggu ke-28 untuk pemeriksaan detail secara ringkas dan ketiga dan terakhir, ketika usia kandungan 36 minggu iaitu sebelum bersalin.
    • Doktor menerangkan situasi-situasi yang berlaku sepanjang kehamilan. Doktor kata untuk scan lain-lain, perlu dilakukan di klinik swasta.
    • Di KK Bangi, suami tidak dibenarkan masuk semasa consult dengan nurse dan juga doktor memandangkan ruang bilik di KK sangatlah terhad. Jadi, suami aku tak dapat saksikan momen masa scan nampak baby kecil di dalam rahim. Huhu
  11. Selesai konsultasi bersama doktor, ambil ubat di kaunter farmasi.  Aku dibekalkan dengan ubat hematinic (pre/post-natal vitamin) Zincofer. Zincofer ini perlu dimakan setiap hari tanpa gagal. Masalahnya gagal juga nak disiplin makan ubat ni sebab level loya jadi teruk setiap kali makan. Hahaha.
Haematinic Capsules Zincofer
Oh ya, jaga buku pink elok-elok ya! Itu lah buku rekod yang perlu dibawa ke mana-mana setiap kali scan, check-up atau sakit. Dalam buku tu lah segala rekod terkandung, berat, bacaan HB, ulasan doktor dan jururawat dan banyak lagi. Memang KK ada buku rekod salinan, tapi lagi molek kalau kita sendiri jaga buku tersebut macam mana kita jaga kad pengenalan dan semua kad penting kita.

Keseluruhannya, aku boleh katakan servis di KK Bangi sangat baik dan komprehensif.  Hampir tiga jam juga masa yang dihabiskan setiap kali check-up. Tak tahu berapa banyak time slip yang dah dihantar ke pejabat. Tetapi tak mengapalah, demi anak, semuanya kami harungi dengan tabah. Aku sangat berterima kasih pada suami yang tak pernah gagal menemani aku ketika check-up. Ada hikmah juga beliau cuti Isnin dan Selasa, dapatlah teman aku check-up tiap-tiap bulan. Hehe. Thank you abang! 



Okay, itu sahaja untuk kali ni. Ni pun dah panjang lebar aku tulis. Nanti aku share pengalaman lain pula. Terima kasih sudi baca :)

Whould you like to comment?

  1. Salam alaik akk.. Nk tnya.. Dekat klinik bangi tu hari ap je blh dtg utk buat bku pink tu

    ReplyDelete
  2. wah terima kasih atas info. jemput ke laman web
    Buku Pink

    ReplyDelete