Assalamualaikum. Nampaknya nak dekat lima bulan juga aku hiatus daripada menulis blog sejak bulan November hari tu. Alhamdulillah, 24 Disember 2019 hari tu, aku telah selamat melahirkan seorang bayi lelaki. Sekarang baby dah nak masuk 4 bulan. Jadi, untuk post kali ini, aku nak sematkan pengalaman bersalin kali pertama yang takkan aku lupakan sampai bila-bila. Mungkin post ini agak panjang kerana aku akan menceritakan secara detail mengikut kronologi. Maklumlah, pengalaman bersalin ni bukanlah sesuatu yang aku mahu lupakan.
17 Disember 2019 (Selasa) - Usia Kandungan: 40 Minggu
Sebenarnya tarikh due aku bersalin sepatutnya 17 Disember 2019. Tapi aku langsung tak mengalami tanda-tanda bersalin macam contraction yang kuat, keluar lendir atau darah pada vagina atau pecah air ketuban. Tunggu punya tunggu, 17 Disember pun tiba, kandungan aku sudah genap 40 minggu. Masih lah tiada tanda. Jadi aku ke Klinik Kesihatan Chempaka, Kota Bharu (klinik yang aku transfer check-up dari KK Bangi ke KK Chempaka bermula 36 minggu sebab aku mahu bersalin di kampung halaman) untuk berjumpa dengan nurse dan doktor. Walaupun kaki aku bengkak dan berat badan aku naik sangat banyak, tetapi alhamdulillah tekanan darah, nadi dan air kencing aku okay. Tiada risiko pre-eclampsia atau tanda akan mengalami darah tinggi. Doktor melakukan pemeriksaan ultrasound untuk periksa keadaan kandungan. Air ketuban cukup, kepala bayi sudah engage, berat bayi anggaran 3 kg dan uri berada di bahagian atas. Pendek kata, I am good to go. Cuma tiada tanda bersalin sahaja. Jadi doktor buat surat refer ke hospital kerajaan untuk aku serah diri dalam tempoh seminggu sekiranya aku masih tiada tanda bersalin.
18 Disember 2019 (Rabu) - Pemeriksaan Kandungan di KBMC, Kota Bharu, Kelantan
Atas nasihat dan pandangan ibu aku, ibu kata lebih baik aku bersalin di Kota Bharu Medical Center (KBMC) bersama doktor pakar O&G perempuan, Dr. Norhaira Mohamed Noor disebabkan aku merupakan
GBS carrier. Pada 18 Disember 2019 merupakan check-up kali kedua aku bersama beliau. Kali pertama adalah pada 9 Disember 2019, sewaktu kandungan berusia 38 minggu. Itu lah kali pertama aku datang buat pemeriksaan dan booking untuk bersalin di KBMC. Di KBMC, sama sahaja prosedurnya seperti di KK. Sampai sahaja kena ambil urine sample dan berat badan kemudian tunggu sehingga nama dipanggil. Sampai turn aku, Dr. Haira suruh aku baring di atas katil untuk beliau scan kandungan. Seperti pemeriksaan di KK, kandungan aku baik sahaja cuma belum ada tanda bersalin. Setelah itu, aku diarahkan untuk pergi ke Bilik Bersalin (Labour Room - LR) di tingkat 1 KBMC untuk melakukan ujian cardiotocography (CTG) untuk periksa jantung bayi dan contraction level. Hampir 30 minit juga berada dalam bilik tersebut. Dr. Haira kata result CTG masih belum menunjukkan tanda contraction. Jadi, aku perlu serah diri pada 24 Disember pada pukul 8 pagi. Tapi kalau sebelum 24hb dah ada tanda, boleh terus sahaja direct ke KBMC. Aku pun pulanglah ke rumah dan tunggu sahajalah kalau ada tanda bersalin. Seksa juga ya menunggu hari bayi mahu keluar. Haha.
24 Disember 2019 (Selasa) - Usia Kandungan 41 Minggu
Today is the day,' bisikku dalam hati. Aku bangun awal pagi, mandi dan bersarapan bersama keluargaku. Aku tak sabar nak jumpa dengan si kecil ini. Dah lama menghuni dalam rahimku. Ibuku menyediakan macam-macam makanan untuk aku makan dan untuk dibawa ke hospital. Pagi-pagi lagi rumah dah riuh dengan ketukan pintu, ibu suruh abah belikan telur ayam kampung, minum susu kurma yang dibuat sendiri (campuran air dan kurma). Lebih kurang pukul 10 pagi, aku, suamiku (Afiq) dan ibuku ke KBMC untuk serah diri.
|
Di luar KBMC, nak serah diri. Bersama suami & ibu |
'Selesai check-in di kaunter pendaftaran, nurse membawaku ke LR. Aku disuruh membuka seluar dalam dan baring di atas katil. Mesin CTG di pasang di perut dan bacaan CTG direkodkan. Afiq tunggu bersama di dalam bilik tersebut. Dr. Haira masuk ke LR, tanya khabar, tanya ada rasa sakit ke tidak dan sebagainya. Aku memang takde rasa sakit langsung masa tu. Huhu. Dr. Haira kemudian menyeluk jari untuk check jalan. Katanya belum ada bukaan lagi. So, Dr. induce dengan cara masukkan ubat prostin ke dalam vagina. Masa tu jam menunjukkan pukul 10.40 pagi. Lepas masuk ubat, aku tak dibenarkan bangun dalam masa sejam. Mesin CTG masih di perut untuk bacaan jantung baby & contraction. Dalam masa sejam, masih belum ada contraction.
|
Dalam LR, masih steady ya menunggu sakit contraction. Masa ni belum kenal erti contraction. Hahaha |
Pukul 11.50 am, kami naik ke tingkat 2 dan duduk di dalam bilik. Contraction masih belum rasa. Aku pun boleh bergurau senda dengan keluargaku. Ibu suruh aku makan nasi, kacang bendi rebus 1 bekas dan minum air milo bercampur telur ayam kampung. Errr.. aku tak pernah tau kena minum bendalah ni. Lama juga aku fikir nak minum ke tak. Ibu kata kena minum untuk tenaga. Kejap lagi contraction, nak makan & minum pun tak boleh. Aku masih gelak-gelak sebab aku belum rasa contraction. Aku habiskan nasi sebekas, makan bendi rebus sebekas, minum air masak, minum air milo + telur ayam kampung dan wafer stick. Aku masih berselera sangat. Aku sempat bersosial di Twitter dan whatsapp kawan-kawan lagi. Tu la, belum rasa lagi kan contraction macam mana. Hahaha.
|
Milo + Telur Ayam Kampung.. Err ada siapa-siapa pernah cuba? |
Tiba-tiba lepas aku solat zohor, dalam pukul 1 lebih, sakit pinggang dan sakit di bahagian ari-ari terasa pedih yang amat sangattt. Rasa menyengat yang aku tak tau nak ceritakan macam mana. Rasa sakit tu datang selang setengah jam. Aku tak boleh baring, berdiri, duduk. Semua serba tak kena. Aku membongkok untuk tahan rasa sakit yang amat sangat. Aku jalan baru kurang rasa sakit. Haaa, sudah! Patut lah ibu kata rasa contraction tu sakit pinggang & sakit rahim yang maha dahsyat. Aku cuba baring atas katil. Tanpa aku sedar, air mata aku mengalir laju sangat. Aku tak tahan. Ni ke rupanya sakit contraction tu? Patutlah orang kata sakit nak bersalin tu antara level sakit yang tinggi sangat. Afiq tak berhenti bacakan ayat Al-Quran kat aku. Ibu & Abah pun non-stop bacakan Quran. Aku rasa helpless, tak tahu nak buat apa setiap kali contraction tu datang. Aku baca doa Nabi Yunus berterusan. Afiq dah kalut google macam mana nak handle bini contraction. Disebabkan rasa contraction tu tak kerap lagi, aku masih boleh gelak-gelak dan bagi queue kat Afiq untuk tolong kawal pernafasan aku setiap kali datang rasa contraction. Alhamdulillah teknik tarik nafas melalui hidung-hembus perlahan-lahan melalui mulut tu sangat berjaya kurangkan rasa sakit sekejap. Selain daripada contraction, aku pun kerap ke tandas sebab sangat-sangatlah kerap nak terkencing. Oh ya, sepanjang contraction tu, ada juga 'show' (keluar lendir bercampur darah di bahagian bawah), jadi nurse suruh aku pakai pad.
|
Moral support from my parents. Love you both! |
Pukul 4 lebih, Dr. masuk ke dalam bilik untuk check jalan lagi. Dr seluk jari dan kata bukaan baru 1 cm. Whatttt? Aku sakit azab macam tu dari pukul 1 tadi baru 1 cm? Huhuhu. Jauh lagi nak sampai 10 cm tu. Masuk ubat dari pukul 10 pagi, 6 jam seterusnya baru 1 cm. Hampa betul dengar. Jadi Dr induce kali kedua dengan masukkan ubat prostin lagi pukul 4.40. Nurse pasang mesin CTG lagi kat perut. Lepas masukkan ubat, macam biasa tak boleh bangun bergerak selama sejam. Allah, kali ni sejam tu aku rasa lama sangat. Induce kali kedua adalah sangat menyakitkan. Contraction datang selang 2-3 minit. Aku memang tak boleh baring langsung. Bergetar seluruh tubuh sebab sakit yang amat sangat. Air mata tak berhenti mengalir dan Afiq genggam tangan aku, selawat & mengaji kat telinga aku. Dia suruh aku sama-sama berzikir dengan dia, baca doa Nabi Yunus, kawal pernafasan aku. Aku memang tak tahan sangat-sangat. Bacaan graf kat mesin CTG aku tak dapat baca sebab walaupun baring, aku banyak sangat bergerak. Nurse tanya aku sakit sangat ke? Nak check jalan tak? Aku geleng kepala taknak sebab aku sakit juga nak tahan kena seluk banyak kali. Tapi nurse insist juga untuk check jalan sebab dia nampak aku tak boleh tahan. Pukul 6 lebih, bukaan 3 cm. Alhamdulillah dari 1 cm dah naik 3 cm. Tapi aku tak boleh bangun lagi untuk tahan sakit contraction sebab graf CTG tak boleh baca. Oh ya, disebabkan aku
GBS carrier, bukaan 3 cm, nurse drip antibiotic kat tangan kiri aku untuk mengelakkan risiko bayi yang bakal dilahirkan terkena kuman GBS. Lebih kurang pukul 8 malam, nurse check lagi sekali bukaan, sudah 5 cm, so dia masukkan ubat berak. Aku rasa sakit sangat perut, aku ke tandas untuk buka seluar dalam. Banyak gila okey darah. Macam ni ke orang nak bersalin? Messy sangat rasaaaa. Aku bagitau dekat Afiq dan ibuku yang aku rasa nak berak tapi tak boleh berak. Ibu kata tu bukan nak berak tu, tu nak beranak. Jangan teran! Hahaha aku kaluttt. Sakit perut, messy semua ada. Aku tak tahan sangat. Pukul 9 pm, nurse tolak aku ke LR dengan wheelchair. Afiq masuk ke LR untuk teman aku. Ibu tunggu di luar LR.
Sampai je kat LR, aku tengok jam menunjukkan 9.15 pm. Aku disuruh baring di atas katil dalam LR, kain dibuka dan baju digantikan dengan baju LR. Contraction makin kuat. Nurse kata kalau rasa sakit contraction, boleh sedut
laughing gas kat sebelah katil. Aku memang sedut je benda tu sepanjang-panjang contraction. Memang rasa lalok sangat. Aku baring mengiring sebab aku rasa sakit yang amat kalau baring terlentang macam biasa. Nurse datang check bukaan setiap berapa minit aku tak ingat. Hampir sejam dalam LR, bukaan pun dah 10 cm, terus aku diarahkan untuk duduk dalam kedudukan nak bersalin (meneran). Kaki kiri dan kanan dibengkokkan. Tangan kiri & kanan pegang besi katil bersalin dan dada membongkok ke hadapan. Dr suruh push tapi aku push sampai merah muka. Nurse & Dr siap jerit-jerit lagi kena push kat bawah, bukan dekat muka. Saya tak tauuuu nak push macam mana, ni first time saya beranak doktorrr. Aku tarik nafas & push macam mana pun aku tak tau sampai lah keluar juga baby boy seberat
3.06 kg, pada 10.32 malam, 24 Disember 2019 (Selasa) bersamaan 27 Rabiul Akhir 1441h. Ya Allahhh, leganya bila baby keluar, perasaan dia macam kita akhirnya dapat berak setelah lama sembelit. Aku tak sedar pun bila masa Dr. gunting (episiotomi), yang aku dengar bunyi 'zapppp' je. Betul lah sakit contraction tu sakit sangat sampai kita pun tak rasa sakit kena gunting, kena jahit tanpa bius. Sepanjang jahit pun, aku sedut laughing gas tu sebab tak bius kott. Huuu.
|
Gambar pertama diambil sejak jadi Mommy & Babah |
|
My 2 Heros |
|
Perasaan paling indah, baby diletakkan di dada |
Perasaan paling indah of course bila baby diletakkan di dada. Aku menangis terharu. Ya Allah, indahnya nikmat yang Kau pinjamkan untuk kami. Aku dan suamiku dah pun bergelar ibu dan bapa. Afiq azankan anak kami, baby tengok seolah-olah dia faham je. Bau baby dari syurga terlalu indah. Ibu & adikku masuk ke LR untuk tengok cucu sulung & anak saudara sulung ni. Semua macam tak percaya yang kami dianugerahkan seorang ahli keluarga yang baru. Alhamdulillah, terima kasih Allah. Ni sedikit gambar kenangan selepas baby Ali dilahirkan.
|
Antara gambar terawal bersama baby Ali |
|
Bersama ahli keluarga beberapa jam selepas baby Ali dilahirkan |
|
Baby Ali Hamza bin Muhammad Afiq. Semoga jadi anak yang soleh buat Mommy & Babah. Mommy & Babah love you so much! |
25 Disember 2019 (Rabu)
Tak lama selepas itu, Dr. Haira masuk ke dalam bilik bersama nurse untuk tanya tentang keadaan aku. Dr. Haira check di luka episiotomi, memeriksa keadaan jahitan dan tanya tentang keadaan aku. Dia kata aku perlu kencing & berak selepas bersalin untuk elakkan terkena jangkitan. Kena sentiasa cuci di kawasan luka & kena kerap tukar pad juga. Kawasan luka juga tak boleh dibiarkan lembap. Dr pesan juga untuk menjaga jarak umur sekiranya merancang untuk hamil seterusnya. Dr bagitahu juga ubat apa yang dia prescribe kepadaku. Antaranya ubat cuci luka episiotomi (Dettol Antiseptic & Losyen Kuning), ubat tahan sakit, ubat sembelit, ubat hematinik untuk tambah darah (Iberet Folic) & alcohol swab untuk cuci tali pusat baby. Alhamdulillah semuanya okay, so aku takde risaukan apa-apa. Dr. Haira dah buat kerja dia dengan baik sekali bagi aku. Jadi, bergantung kepada aku lah pula tak boleh lasak-lasak dan jaga kesihatan sebaiknya.
|
Gambar kenangan bersama Dr. Haira |
Pukul 12 pm ++, Ali dibawa berjumpa dengan Pakar Paediatrik (Dr. Rujhan) untuk memeriksa keadaanya. Disebabkan Ali lahir melalui kaedah normal (Vaginal Birth) dan aku merupakan carrier GBS, pemeriksaan kesihatan sangat perlu dilakukan kepada Ali. Takut sekiranya kuman GBS terkena pada Ali. Pemeriksaan pendengaran juga dilakukan. Alhamdulillah semuanya okay, Ali sihat sepenuhnya dan kami boleh pulang ke rumah sehari selepas bersalin dan bermulalah pantang regime sebaik sahaja sampai rumah. Hehe. Lepas setel bil, ambil ubat & diberi buku imunisasi bayi yang kerajaan telah bekalkan serta dokumen untuk daftar kelahiran anak, kami pun pulang ke rumah.
Oh ya, total bersalin di KBMC untuk pakej 2019 macam dalam poster kat bawah ni. Jumlah keseluruhan dalam RM 3k++ sebab aku induce dua kali & buat pemeriksaan tambahan untuk baby sekali. Untuk pakej 2020 tak sure macam mana. Kena tanya pihak KBMC tu.
Alhamdulillah.. Mengenangkan saat-saat kelahiran anak, tak pernah membuatku berhenti sebak. Akan kami jaga amanah anak ini dengan sebaiknya. Doakan kami berjaya menjadi ibu bapa yang baik, membentuk anak yang soleh. Terima kasih sudi baca :)
****************************
Post Berkaitan:
tumpang tanya, boleh tahu tak secara kasar anggaran kos bersalin puan di kbmc pada tahun 2020 tu?
ReplyDelete