Sejak aku berkhidmat di firma sekarang mulai tahun lepas, aku banyak berhadapan dengan kes-kes pusaka. Mulanya, aku cuma seorang peguam yang berkecimpung dalam soal jual beli hartanah, pendrafan Perjanjian Jual Beli, Perjanjian Sewa, Urusan Melepaskan Gadaian dan sewaktu dengannya. Tetapi sejak bekerja di sini, pengendalian kes-kes pusaka menjadi rutin pula. Jadi, aku garapkan di sini beberapa pengalaman yang aku hadap sepanjang setahun mengendalikan (lebih kepada pengalaman peribadi supaya tak lupa suatu hari nanti). Tulisan panjang, jadi mungkin aku perlu bahagikan tulisan ini kepada beberapa posting.
Pengalaman 1: Waris Sombong, Akhirnya Menagih Tolong
Buka Fail..
Antara kes awal yang aku kendalikan masa mula bekerja di firma ini, aku diarahkan oleh bos untuk membuka fail dan mendraf kertas kausa bagi kes berkenaan seorang balu yang kematian suaminya sejak lebih 15 tahun lepas, yang ingin menjual hartanah tersebut kepada ejen yang berminat untuk membeli. Balu dan arwah suami (simati) tidak mempunyai zuriat, tetapi simati mempunyai adik-beradik lelaki dan perempuan. Jadi, kami akan mewakili balu tersebut bagi urusan Perjanjian Jual Beli dan urusan-urusan di Mahkamah:-
- Permohonan Perintah Faraid dan Harta Sepencarian di Mahkamah Syariah; serta
- Permohonan Perintah Pentadbir dan Permohonan Perintah Penjualan di Mahkamah Tinggi (sivil).
Follow up demi follow up..
Selesai saja pendrafan kertas kausa untuk permohonan pelantikan pentadbir di Mahkamah Tinggi, kami perlu dapatkan persetujuan ahli waris yang lain bagi menandatangani beberapa dokumen terlebih dahulu. Dalam hal ni, balu yang akan menjadi Pentadbir (sekiranya tiada bantahan). Kami tidak pernah dimaklumkan sebelum ni bahawa ahli waris lain ada masalah dengan balu tersebut. Balu tinggal di Johor, ahli waris lain tinggal di Selangor. Aku dapat satu nombor telefon ahli waris, contact beliau dan jelaskan mengenai dokumen pelantikan pentadbir dan plan balu untuk menjual rumah simati ni. Tapi ahli waris tersebut, setiap kali aku telefon mesti layan acuh tak acuh, mesej pun tak balas. Aku dapat alamat rumah ahli waris tu, terus aku courier dokumen dan maklumkan dokumen itu mengenai apa. Aku harapkan kerjasama daripada pihak mereka. Hari demi hari, bulan demi bulan, aku masih follow up, dan aku masih belum terima jawapan daripada mereka.
Sehingga lah satu hari, aku terima satu panggilan daripada adik bongsu simati yang mengatakan dia mewakili abangnya (yang aku contact selama ni) nak hadir ke pejabat untuk mengetahui status dan apa sebenarnya yang balu nakkan. Aku menerangkan hasrat balu yang ingin jual harta simati dan harta tersebut akan diberikan menurut faraid. Tetapi tiba-tiba si bongsu tu pula naik hantu, terjerit-jerit dan mengatakan bahawa kakak iparnya pembunuh, kakak iparnya menggunakan sihir, dia taknak mengaku yang balu itu kakak iparnya dan takkan berhubung dengannya. Kami cuba pelbagai gaya dan cara untuk tenangkan dia termasuk mengenai pembahagian harta tersebut akan dilakukan secara faraid. Tapi nampaknya dia masih dengan naratif tersebut. Selepas 'tantrum', si bongsu minta untuk diberikan masa untuk berhubung dan berbincang dengan adiknya yang lain.
Aku ada lah follow-up dengan dia dan abangnya selepas pertemuan tersebut. Sepanjang berkhidmat, memang kita sebagai peguam tak boleh kalah dengan emosi dan kata-kata tuduhan yang dilemparkan oleh mana-mana pihak kepada pihak lain. Lagipun, kami cuma dilantik untuk menguruskan pengurusan pentadbir dan jual beli sahaja. Tapi yelah, bila dah ada waris-waris enggan ni, biasanya kena juga capai kata persetujuan. Tapi nampaknya selepas sebulan, waris-waris masih lagi berkeras dan tidak mahu memberikan kerjasama, yang balu pun masih bertegas lagi nak buat tuntutan harta sepencarian ke atas harta simati.
Tarik Diri Daripada Kes..
Jadi aku berbincang dengan bos, memandangkan kes pun masih lagi di peringkat yang sangat awal, kami pun tarik diri sebab tiada kata sepakat. Jika nak panjangkan di peringkat mahkamah semata-mata untuk melantik pentadbir, amat lah merugikan masa dan kos, memandangkan harta simati pun cuma RM110,000. Tak berbaloi untuk usaha keras kami jika waris taknak beri kerjasama dan balu pun taknak berbincang dengan waris-waris lain. WaNiat tarik diri pun kami dah maklumkan pada ejen dan balu tersebut.
Setahun kemudian...
Awal bulan Ogos 2025 yang lalu, ada seorang lelaki hadir ke pejabat dan bertanya tentang progress fail ini. Aku dah lupa mukanya. Dia kata dia dan isterinya pernah hadir ke pejabat tahun lepas untuk isu hartanah abang iparnya. Aku cuba recall dan aku sebut nama balu tersebut. Dia kata "ya" dan menyatakan mereka berhasrat untuk tandatangan dokumen tersebut sebab isterinya (si bongsu yang hadir ke pejabat dulu) sakit kencing manis sehingga kena potong kaki. Abang iparnya juga sudah bersedia untuk menandatangani dan berbincang. Malangnya, aku hanya mampu tersenyum dan berkata, "kami tak kendalikan dan tarik diri kerana waris-waris enggan. Encik pun tahu kan banyak mana saya pujuk dan contact sampai kena block dengan abang ipar encik dan isteri encik?" Lelaki itu pun kaku di hadapan pejabat dan tanya apa yang mereka perlu lakukan sekarang? Aku hanya mampu berkata yang mereka perlu hubungi balu berkenaan dan berbincang lah nampaknya. Itu sahaja caranya.
Refleksi sebagai Peguam..
Sebab tu lah bila cakap tentang harta pusaka ni jangan lah buat sombong dan berlengah. Ramai yang buat sombong dengan niat dendam dan nak menyusahkan orang terutama bila tak ada hubungan baik. Padahal harta tu pun harta simati. Kita cuma menumpang rezeki daripada peninggalan orang yang sudah tiada. Tapi bila dah jadi begini, tak ke persengketaan tu jadi berpanjangan dan harta makin lama makin rumit untuk diselesaikan dan dibahagikan? Bayangkan nanti waris-waris yang masing-masing dah berumur pula meninggal, jadi makin berlapis-lapis pembahagiannya.
Peguam ada sebagai pemudah cara, tapi peguam lah yang paling terkesan dan kena hadap makian bila waris-waris enggan. Kita pula dilihat sebagai orang jahat. Untuk kes ini, aku hanya mampu tersenyum sendirian mengenangkan pengalaman kena palau, kena block dan seolah-olah mengemis bila kita cuba bantu.
Percepatkanlah urusan pusaka. Jangan dikait cerita lama. Berlapang dada lah dalam pembahagiannya.
Would you like to comment?