Beberapa bulan lepas (sekitar April 2025), anak aku, Ali (6 tahun) diserang penyakit misteri. Bila anak sakit, memang hati ibu bapa ni tak pernah tenang. Ali demam on-off berpanjangan, sampai kami sendiri pun risau kenapa demam tak kebah-kebah. Kami dah beberapa kali bawa dia ke klinik, ke bahagian kecemasan hospital, tapi keputusan bacaan darahnya normal sahaja. Mula-mula ingat demam biasa, tapi rupa-rupanya penyakit ni ada kaitan dengan telinga tengah yang tak boleh dilihat dari mata kasar. Aku kongsikan pengalaman ni sebab masa mula-mula Ali sakit, aku sendiri tak ada rujukan dan pengalaman jelas untuk dibaca. Harap cerita ni boleh jadi panduan untuk mak ayah lain juga.
Minggu 1-2: Demam On-Off, Tapi Masih Monitor di Rumah
Lebih kurang dua minggu pertama (bermula 16 April 2025), Ali demam on-off. Ada masa kebah, ada masa datang balik. Dia masih boleh bermain dan makan, tapi keadaan dia bila tak bermaya, memang sangat-sangat merisaukan. Kami berulang kali ke klinik untuk 2 minggu pertama sakit tu. Ajaibnya, keputusan darah tak menunjukkan sebarang serangan virus atau bakteria. Pergi ke Bahagian Kecemasan hospital pun, doktor tak kata tiada apa yang merisaukan, jadi tak perlu warded. Doktor hanya berikan ubat demam dan selesema sahaja. Jadi kami fikir mungkin dia penat sekolah atau sakit disebabkan cuaca yang tak menentu.
Minggu 2-3: Perasan Pendengarannya Terganggu
Bila dah masuk minggu kedua, aku mula perasan telinga dia ada masalah. Dia pernah mengadu sakit telinga dan pernah menangis sambil pegang telinga. Aku sekali lagi bawa di ke klinik untuk check telinga di klinik GP. Doktor masukkan alat scan dan kata telinganya tiada kesan jangkitan dan merah-merah. Doktor buat ujian darah sekali lagi tetapi masih menunjukkan bacaan normal.
Tapi mustahil tiada masalah. Kesalahan kami ketika tu adalah pergi ke klinik GP dahulu, walhal tanda-tanda kurang dengar memang dah jelas ketika itu. Waktu bercakap dengan dia, aku perasan dia memang kerap baca gerak bibir aku dan selalu dekatkan telinganya ke bibir, suruh kita ulang beberapa kali. Bila dia dengar radio atau menonton video pun, dia sering naikkan volume. Kadang bila kita panggil pun, dia tak menyahut. Memang rasa ada something wrong somewhere ni sebab dia bukannya tak boleh mendengar sebelum ni.