Explore the blog
Wednesday, July 17, 2019

Wedding Jitters & Corat-Coret Tentang Majlis Perkahwinan


Dah kahwin tiga bulan lebih, baru rajin nak update blog. Rasa macam nak abadikan dekat sini kenangan majlis akad nikah & perkahwinan hari tu. Bukan tak boleh move on, tapi ada baiknya kalau sesetengah benda, kita biarkan dia terpahat selamanya.

Gambar kegemaran aku sebab sangat-sangat spontan

Alhamdulillah, pada 30 Mac 2019, aku telah selamat diijabkabulkan bersama lelaki yang paling cool yang aku telah kenali sejak 2013. Kami belajar di institusi yang sama sebelum beliau berpindah ke universiti lain pada tahun 2015. Ujian demi ujian, kami berjaya tempuhi sehingga ke saat ini. Orang kata, the rest is history. Tak perlu lah aku cerita semuanya, biar sesetengah cerita itu kita simpan seadanya.

Awalnya, kami merancang untuk berkahwin pada 9 Februari 2019 iaitu ketika cuti raya cina. Tetapi disebabkan beberapa kekangan, kami terpaksa tunda kepada 30 Mac. Satu peluang untuk kami mengumpul lagi duit dan membuat persediaan-persediaan penting sebelum melalui fasa kehidupan yang berbeza. Namun, apabila tukar tarikh, tempat asal majlis yang kami nak buat pun sudah ditempah sepenuhnya, menyebabkan kami terpaksa mencari lokasi lain. Survey punya survey, akhirnya kami menemukan sebuah tempat yang indah iaitu di Kerian Valley Resort, Kubang Kerian, Kelantan. Kenapa tak buat di rumah? Ermm.. Rumah kami agak sempit untuk menerima tetamu yang ramai. Tambahan pula, ini merupakan perkahwinan kali pertama dalam keluarga kecil kami. Sudah tentunya, ramai tetamu yang akan hadir, sanak-saudara kami pula ramai. Lagipun, kalau buat di rumah, kami agak malas untuk mengemas rumah selepas majlis selesai nanti.

Anyway, bila cakap pasal wedding, mesti ada beberapa perkara yang buatkan kita berdebar dan terfikir-fikir sepanjang persediaan kan? Jadi, ini adalah beberapa perkara yang berlaku demi menjayakan sebuah majlis perkahwinan.

Cabaran & Wedding Jitters

  • Afiq Hanya Dapat Bercuti Pada Hari Perkahwinan
Afiq bekerja di sebuah syarikat swasta berteraskan pendidikan. Seminggu sebelum perkahwinan kami, Afiq ada kelas intensif di tempat kerjanya selama seminggu dari hari Isnin hingga Jumaat. Beliau tak dapat cuti beberapa hari sebelum majlis dan hanya dapat datang ke Kota Bharu pada hari Jumaat malam (pagi esoknya akad nikah) setelah menyelesaikan tugasan di tempat kerja. Aku bila tahu hal ini terus berdebar-debar dan tempah tiket kapal terbang sebulan awal daripada tarikh perkahwinan kami. Dan setiap kali selepas solat, aku mesti berdoa agar dipermudahkan urusan kami menuju ke gerbang perkahwinan. Alhamdulillah, semasa berinai, Afiq menghantar whatsapp telah selamat sampai di Kota Bharu dan ayahnya sudah pun mengambilnya di lapangan terbang. Keluarganya sudah sampai dua hari awal (hari Khamis malam). Okay, lega pengantin lelaki sudah tiba dengan selamat. Aku je tahu betapa gembira dan bersyukurnya aku :)

Oh ya, walaupun aku tulis cuti hanya pada hari perkahwinan, sebenarnya Afiq bercuti pada hari Isnin dan Selasa setiap minggu. Minggu intensif itu je yang menyebabkan beliau perlu bekerja Isnin-Jumaat. Jadi kami dapat meluangkan masa selepas kahwin selama empat hari juga. Okay lah tu. Honeymoon nanti bila-bila pun tak mengapa.

  • Perbezaan Pendapat yang Berterusan dengan Ibu
Orang kata kahwin itu mudah. Buat apa nak buat majlis grand-grand sebab tujuan utama perkahwinan bukannya untuk menunjuk-nunjuk tatapi untuk mendapatkan keberkatan Ilahi kan? Betul lah tu. Dan tiada sekelumit pun kami rasa mahu menunjuk-nunjuk. Ibuku seorang yang sangat teratur dan mementingkan protokol. Malah, Ibu ada sekumpulan kawan yang sangat memahami dan supportive. Aku cemburu juga melihat persahabatan mereka. Bermula dari sekolah rendah, hingga sekarang masing-masing sudah 50-an, mereka bagaikan isi dan kuku, saling menolong dan membantu. 

Aku punya idea dan konsep tentang perkahwinan sangat berbeza dengan Ibu. Ibu mahukan konsep garden wedding tetapi aku mahukan konsep tradisional. Aku sudah mengimpikan yang aku akan memakai set pesona baju kebaya & sanggul lintang, manakala Afiq memakai baju melayu songket beserta tengkolok bewarna keemasan. Lagu-lagu yang berkumandang semasa majlis pula haruslah lagu-lagu P.Ramlee, muzik gamelan dan sebagainya. Tetapi Ibu mengimpikan aku memakai gown atau dress berlabuci supaya nampak lebih pengantin. Menurut Ibu, aku takkan pakai pakaian sebegini jika bukan semasa majlis perkahwinan. 

Dan iya, semasa mencuba set kebaya songket, aku kelihatan sangat gemuk walaupun Afiq kelihatan sangat tampan mengenakan set tersebut. Aku tak mahu gambar kahwin aku kelihatan janggal dan tidak cantik. Jadi, aku membuat keputusan untuk memakai baju kurung potongan moden yang kelihatan seperti dress. Hasilnya sangat menawan!

Busana Pengantin Lelaki & Perempuan oleh KikiShaqieBridal 

Aku juga menurut sahaja dengan pemilihan konsep garden wedding yang Ibu mahukan. Berbulan-bulan sebelum majlis, boleh kata hari-hari juga aku dan Ibu menelefon dan berborak berjam-jam lamanya tentang perihal persediaan majlis. Ibu yang selama ini bertungkus-lumus menghubungi pihak Kerian Valley (tempat), KikiShaqieBridal (pelamin dan busana), Renjis Gallery (busana) dan juga Afiq Katering. Sungguh, aku sangat bersyukur mempunyai Ibu yang penyayang, yang sanggup bersusah payah demi membahagiakan anak-anaknya. Jika aku menjadi seorang ibu kelak, aku mahu jadi sepertinya. Jadi, hasil tempat perkahwinan aku sangat cantik dan wow!

Deco Pelamin oleh KikiShaqieBridal

Deco suasana oleh KikiShaqie. Meja & Khemah oleh Afiq Katering

  • Jurufoto Stranded di Banjaran Titiwangsa
Persediaan majlis agak lancar pada awalnya hingga tiba saat akhir tiba-tiba jurufoto aku (Acap) menghubungi aku pada malam berinai, memberitahu keretanya mati di Banjaran Titiwangsa. Banjaran Titiwangsa ke Kota Bharu lebih kurang 3 jam juga perjalanan sehala. Kau bayangkan, saat 10 jari dipenuhi inai, aku juga berdebar dan menanti update-update seterusnya daripada Acap. Aku menyuruh Iqa memerhatikan telefon bimbit aku takut-takut Acap call atau mesej. Aku suruh juga adik aku, Amir standby untuk mengambil Acap sekiranya beliau memang tiada kenderaan untuk ke mari. Aku pesan kepada saudara-mara dan adik-beradik aku untuk tak menyampaikan berita ini kepada Ibu sebab Ibu akan panic dan membebel sekiranya dia tahu. Banyak kali dia pesan untuk mengambil jurufoto berdekatan sahaja supaya masalah-masalah ini dapat dielak. 

Kira-kira beberapa jam bersengkang mata sambil menadah tangan menunggu inai di jari kering, Acap menghubungiku semula dan mengatakan yang beliau sudah dapat kenderaan untuk datang ke KB. Syukur alhamdulillah. Tapi, aku masih tak tenang selagi beliau tidak sampai di KB. Kira-kira pukul 4 pagi, Acap melaporkan kepada aku beliau sudah sampai di hotelnya. Aku sudah tempah hotelnya sehari sebelum.

Jadi, malam sebelum perkahwinan, aku hanya dapat tidur pada pukul 4 pagi. Pada pukul 6 pagi pula aku sudah bangun mandi, solat dan bersiap untuk didandan sebagai pengantin. Nasib baik juga tiada eyebag. Malah MUA memuji keadaan kulit aku lembap dan licin, memudahkannya untuk membuat kerja. Hihi kembang jap.


-------------------------------------------

Okay rasanya tu je kot antara cabaran-cabaran yang aku hadapi sebelum majlis perkahwinan. Ada lagi yang lain tapi terlalu kecil untuk dipahatkan. Haha. Jadi nak kongsi beberapa foto perkahwinan yang diambil oleh Acap sepanjang berlangsungnya acara. Oh ya, gambar-gambar di atas pun semua Acap  yang ambil. Boleh refer portfolio beliau di sini: https://hartfilm.co/weddings

Solekan & dandanan oleh MUA Arisyah Syukriyah. Sangat-sangat best sentuhan dia. Tak percaya jadi lawa macam ni masa majlis hari tu. Hahaha. Terima kasih Chah.. Puas hati sangat-sangat. Chah datang pukul 7 pagi dan selesai makeup lebih kurang pukul 9.30 pagi. Akad nikah pukul 10 pagi. Ngam sangat timing!




Dengan keluarga belah-belah pihak. Finally ada plus one di keluarga masing-masing :)



Rasa itu je gambar yang nak share di blog ni. Tau banyak gambar pakai baju nikah. Kalau ikutkan ada 900++ gambar yang dah diambil. Untuk yang lain, boleh tengok di video sebab aku upah juga juruvideo (Hanif) untuk shoot suasana dan video akad nikah dan majlis resepsi. Aku sangat-sangat puas hati dengan servis beliau. Jadi ni adalah ketiga-tiga hasil seni beliau.





Secara ringkasnya, ini adalah antara insan-insan yang menjayakan majlis perkahwinan aku:

Official Photographer: Ashraf Afandi
Official Videographer: Hanif Akmal
Pelamin & Dekorasi: Kiki Shaqie Bridal
MC: DJ Lan
Khemah & Makanan: Afiq Katering
Kek Perkahwinan: Mariposa Delight


Kesimpulannya, aku sangat-sangat bersyukur dengan kelancaran majlis. Terima kasih yang teramat aku ucapkan kepada Ibu Abah dan keluarga yang bertungkus lumus menjayakan majlis, Mama & Abah yang sudi menerima aku sebagai menantu, kawan-kawan dan saudara yang hadir menolong dan memeriahkan majlis dan tetamu-tetamu yang datang dari pelbagai lokasi untuk meraikan kami. Terima kasih yang tak terhingga. Doakan kami bahagia di dunia dan di akhirat. Terima kasih juga sudi baca sampai habis. 
















Whould you like to comment?

  1. tahniah awak.. cantik sungguh.. semoga berbahagia hingga ke jannah

    ReplyDelete