Abah selalu pesan, “abah
harap akak kahwin dengan orang yang betul-betul sayangkan akak macam abah
sayangkan akak. Abah tak minta lebih. Kalau dia sayang akak macam abah, abah
jamin akak bahagia...”
Aku selalu terfikir,
kenapa satu kriteria sahaja yang abah tetapkan sebagai syarat untuk bakal
menantunya padahal banyak lagi kriteria lain yang bapa-bapa lain tetapkan
seperti beragama, hormat orang tua, sudah stabil dan sebagainya. Pendek kata,
untuk menjadi menantu abah, kriteria itu sangat senang.
Tapi semakin masa
berlalu, aku mula faham definisi sayang itu terlalu subjektif. Kau tidak pernah
tahu jika seseorang sebenarnya betul-betul mampu menyayangi kau sebagaimana ibu
dan bapa kau sebab segalanya indah pada permulaan dan pada saat manis sahaja.
Walhal, sayang sebenarnya memberi maksud yang lebih meluas. Bagaimana dia
berdepan dengan kau saat kau mengadu padanya tentang masalah kau, saat kau dan
dia menghadapi masalah, saat kau perlu bertoleransi dengannya, saat dia
berhadapan dengan masalah dan segala-galanya. Pendek kata, cinta bukanlah
sekadar ucapan semata-mata tanpa toleransi, komitmen dan perbuatan tetapi
bagaimana kau bersama-sama ketika baik buruk peristiwa, yang boleh mengatasi
ego kerana sayang, yang tidak hanya mementingkan diri sendiri dan mengabaikan
perasaan pasangannya. Cinta tu sendiri boleh hadir dan berakhir dengan sekelip
mata, sama ada wujudnya orang ketiga, perbuatan yang serasa tidak dapat
diterima malah tanpa alasan musabab yang kadang tak tercerna dek akal.
Lama-lama aku faham,
lelaki yang kita sayang atau yang mengaku sayangkan kita sebenarnya memang tak
pernah akan mampu sayangkan kita macam ayah kita sendiri. Beliau yang azan dan
iqamatkan kita waktu lahir, yang bertungkus lumus mencari duit nak besarkan
kita dan macam-macam lagi tanggungjawab yang digalas oleh seorang bapa.
Aku pun meniti usia
dewasa yang mana suatu hari nanti jika diizin Tuhan akan berkahwin dengan
lelaki yang aku pun tidak tahu siapa, yang akan menjadi suami aku kelak.
Kalaupun aku yakin yang dia mampu menyanyangi aku, aku pasti tidak sama dengan
apa yang dicurahkan abah. Abah yang sering berkata, "kat jalan ni lah dulu
abah riba akak masa tengah drive. Masa tu akak umur dua tahun sebab nangis tak nak duduk kat riba ibu..",
abah yang ingat segala peristiwa-peristiwa besar dalam sejarah kehidupan
anaknya termasuklah pada ketika kali pertama aku baligh, abah yang sentiasa
nasihatkan aku untuk rajin membuat kerja-kerja rumah untuk kesenangan masa akan
datang, abah yang sentiasa ingatkan aku untuk memberi keutamaan kepada
pelajaran dan juga abah yang sentiasa ingatkan aku untuk mencari seseorang yang
mampu menyayangi aku seadanya. Tidak akan pernah sama dengan lelaki yang bakal
aku kahwini satu ketika nanti..
Aku tahu tujuan hidup bukanlah
untuk berkahwin semata dan mengembangkan zuriat tetapi lebih daripada itu. Dan
tentang abah yang sudah lebih 20 tahun membesarkan aku, pada ketika dia akan
melepaskan aku kelak ke tangan seorang lelaki, bukanlah tugas mudah baginya.
Melihat anak gadis yang dahulunya didukung, diajar berjalan akan dipimpin oleh
lelaki lain, bukanlah perkara enteng sebab beliau terlalu sayangkan aku dan
bila beliau yakin lelaki itu akan menyayangi aku seperti adanya dia, aku yakin dia
berani untuk lepaskan aku kepada lelaki tersebut.
Ternyata, kriteria
"yang menyayangi akak macam abah" bukanlah satu kriteria yang mudah
malah menjadi kriteria yang paling sukar untuk dituruti sebab dari kriteria
itu, akan tumbuhlah kriteria lain seperti sabar, prihatin dan sebagainya.
Would you like to comment?