Menginjak usia 25 tahun merupakan tahun pertama aku mengundi sempena Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14. Julung-julung kali mengundi setelah suku abad kehidupan, bagiku adalah sesuatu yang agak mengujakan. Aku berasa sungguh dewasa diberi peluang untuk membuang undi. Selama ini, aku hanya mendengar ungkapan dan keluhan daripada bapaku, saudara-maraku mahupun orang-orang di sekelilingku. Tetapi kali ini, aku sendiri dapat merasai peluang ini dalam hidupku.
Pada 8 Mei 2018, aku dan beberapa orang rakanku car-pooling bersama menuju ke Kelantan. Seperti yang kita semua sedia maklum, perjalanan ke Pantai Timur dari Pantai Barat mengambil masa kira-kira tujuh ke lapan jam pada umumnya. Namun, pada musim-musim tertentu, perjalanan mampu menginjak sehingga 12-14 jam lamanya. Kami berkumpul di KL Sentral dan bertolak kira-kira pukul 3.40 petang setelah cukup korum. Sempat juga aku dan Afiq memborong beberapa buah buku di MPH NU Sentral yang sudah hampir setahun tak dijejaki sebelum bertolak pulang ke Kelantan.
Tempat kegemaran di NU Sentral |
Bersama pemandu peribadi kesayangan |
Alifah merupakan seorang pemandu yang cekap. Siapa kata wanita tidak dapat memandu dengan cekap dan berhemah, aku mampu sahaja menyangkal pernyataan ini. Kami melalui LPT 2 kerana menurut Waze dan Google Map, perjalanan melalui Raub-Gua Musang-Kuala Krai bakal mengambil masa yang sangat panjang memandangkan suasana pra-pilihan raya di kampung-kampung yang masih hangat berlangsung dan kenderaan-kenderaan yang datang dari pelbagai arah juga berduyun-duyun menuju ke arah destinasi yang sama. Maka, Alifah putuskan untuk melalui Lebuhraya Pantai Timur untuk menuju pulang ke Kelantan. Walaupun kereta agak padat dengan empat orang penumpang dan seorang pemandu serta kesesakan selepas tol Gombak ke tol Bentong, suasana di dalam kereta sangatlah menggembirakan. Maklumlah, kami dapat ber-mini reunion di dalam kereta bersama-sama.
Berehat di R&R Gambang |
Alifah sangat kental untuk kekal memandu di saat kami yang lain sudahpun diulit lena di dalam kereta kerana kekenyangan seusai makan di R&R Gambang. Sedar-sedar, kami sudahpun berada di Kuala Terengganu menuju ke Kelantan. Alifah hanya mengambil tempat sebagai penumpang setelah hampir tiba di Pasir Puteh. Sungguh aku kagum dengan Alifah. Sudahlah baik, kental pula tu. Aku tiba di rumahku pada pukul 4.15 pagi pada 9 Mei 2018.
9 Mei 2018 merupakan tarikh yang ditetapkan sebagai hari mengundi. Tak tahulah apa muslihat SPR, dalam banyak-banyak hari, hari Rabu juga dipilih sebagai hari mengundi. Aku tidak lah menjadi antara orang yang terawal mengundi kerana aku baru sahaja tiba di Kelantan pada pukul empat pagi. Untuk PRU kali ini, ibu dan abahku mengundi di Besut manakala aku, Amir dan Along (yang ketiga-tiganya adalah pengundi kali pertama) mengundi di Kota Bharu. Along terpaksa bekerja pada hari mengundi memandangkan dia bekerja di Digi. Jadi, aku harus menunggu adikku, Amir untuk bangun dari tidur. Almaklumlah lelaki, ketika aku sampai di rumah pagi itu pun, dia masih belum tidur kerana bermain playstation. Kira-kira matahari sudah terpacak di atas kepala barulah kami tiba di pusat mengundi di Sekolah Kebangsan Sultan Ismail 2, Kota Bharu.
Aku dan Amir bertanyakan kepada petugas di pusat mengundi berkenaan saluran kami. Petugas menyatakan yang kami perlu ke belakang blok kerana saluran 5 terletak di situ. Kami terus mengambil tempat dan beratur di belakang makcik dan pakcik selama lebih setengah jam sebelum Amir perasan sesuatu yang tidak kena pada kami. Kami tidak memegang sebarang kertas yang menyatakan nombor giliran dan nombor saluran kerana kami belum mendaftar. Hahaha. Sepanjang setengah jam lebih itu, aku sempat membaca buku terbaru daripada Fazleena Hishamuddin berjudul Tari Pasar Perempuan. Setelah mendaftar, baru lah kami ke tempat yang betul. Tiada langsung pengundi di bilik saluran 5 ketika itu, jadi kami dapat menyelesaikan urusan membuang undi dengan cepat.
Serius buku ni best! Tapi masih belum sempat menghabiskan pembacaan. InsyaAllah, akan reviu buku ini setelah tamat membacanya |
Kurang seorang beradik (Along) |
Setelah selesai mengundi, aku membawa Amin dan Iqa ke mall kerana sudah berjanji untuk memberikan mereka habuan menemaniku mengundi padahal mereka masih lagi di bawah umur. Along pula mengundi sejam sebelum pusat mengundi ditutup. Itu pun, disuruhnya Amir untuk mengambilnya di tempat kerja kerana mahu mengejar masa sebelum masa pengundian tamat. Nampak sungguh keterujaan masing-masing sebagai pengundi kali pertama.
Pada waktu malam pula, aku dan keluargaku bersama-sama menantikan pengumuman keputusan pilihan raya di ruang keluarga sambil menikmati pizza Dominos. Aku akan sentiasa mengingati momen ini kerana sebelum ini aku hanya mampu memandang wajah berdebar ibu bapaku saat menanti keputusan pilihan raya sebelum-sebelum ini tanpa mengetahui apakah impak pilihan raya terhadap negara dan rakyat. Kali ini, suasananya amat berbeza memandangkan kami, tiga beradik teratas sudah layak mengundi dan kami sudah faham apakah implikasi parti yang memerintah negara. Walaupun aku belajar undang-undang, tetapi sebelum ini aku masih belum faham sepenuhnya tentang senario-senario politik di negara kita. Kali ini, aku berpartisipasi di dalam group kuliah untuk membincangkan secara langsung keputusan pilihan raya sehingga pukul empat pagi. Sungguh mengujakan!
Tangan-tangan yang telah membuang undi |
Kucing kami, Eevee juga sudah bosan menantikan keputusan pilihan raya. Sampai pukul 4 pagi bukanlah sesuatu yang biasa okay? |
Terlalu banyak faktor yang menjadikan pilihan kali ini sangat lain dari yang lain. Yang utamanya, penglibatan semula Tun M dalam dunia politik setelah 15 tahun bersara. Kemunculan semulanya sebagai parti pembangkang adalah dilihat sangat janggal, apatah lagi menentang parti yang pernah disertainya dan menentang protegenya, DS Najib. Aku tidak betul-betul mengikuti apa-apa berita semasa tempoh berkempen dan sebelum-sebelumnya.
Tetapi apa yang paling mengujakan dalam pilihan raya kali ini selain menjadi pengundi kali pertama adalah, barisan pembangkang Pakatan Harapan pertama kali MENANG dalam pilihan raya setelah 61 tahun di bawah tampuk pemerintahan Barisan Nasional! Ini adalah sesuatu yang benar-benar di luar jangkaan kami. Aku sedari kecil hanya menjangka BN akan kekal memerintah negara kerana taktik-taktik yang telah mereka kawal dan guna bertahun-tahun untuk memastikan mereka kekal dalam kuasa. Jadi, kejayaan ini benar-benar memberi harapan semula kepada rakyat Malaysia.
Orang kata undi itu rahsia, tapi bagi aku ianya tidaklah rahsia mana. Aku mengundi parti yang paling kurang menyerlah di negeri aku iaitu parti biru yang lebih muda. Walaupun aku agak kecewa PKR tidak menang satu pun kerusi di Kelantan, tetapi aku berharap kerajaan persekutuan sekarang iaitu Pakatan Harapan dapat menggalakkan pembangunan dan pengurusan di Kelantan. Sudah menetap lebih 10 tahun di Kelantan, aku merasakan rakyat Kelantan sudah terlalu selesa dengan keadaan negeri yang serba dhaif. Aku mengundi PKR juga kerana aku mahukan sesuatu perubahan dilakukan terhadap negeri ini. Tetapi aku rasa dengan senario politik di negeri ini dan ketaksuban rakyat negeri ini yang fanatik dengan parti bulan penuh, aku rasa kalau letak kayu tunggul sebagai wakil rakyat pun sudah tentu tunggul kayu tersebut akan menang. Tidak dinafikan, ada juga wakil rakyat dari parti bulan penuh ini yang bagus membuat kerja dan memang patut disanjungi, tetapi memandangkan sudah berapa dekad lamanya di bawah pemerintahan yang sama dan masih stagnan, aku kira sudah tiba masanya untuk ubah, tapi nampaknya masih belum lagi dan kami nampaknya harus akur.
Dan sudah tentunya aku tidak mengundi parti dacing kerana skandal dan jenayah kolar putih dan rasuah yang telah dipraktikkan oleh pemimpin-pemimpin BN. Sebagai orang muda yang baru menginjak dunia nyata terasa begitu terhimpit dengan ekonomi sekarang dan tentunya akan lebih menyesakkan pada masa-masa akan datang. Tidak kurang daripada itu, parti ini lebih mudah membeli kepercayaan rakyat dengan memberikan habuan dalam bentuk kewangan dan material. Sudah banyak kali kita juga kita sedar bahawa kebebasan bersuara dan hak asasi lain disekat sewenang-wenangnya.
Kepercayaan aku pada PKR bukanlah kerana aku mengangkat sosok-sosok tertentu dalam parti tersebut. Ia hanyalah kerana aku mahukan perubahan senario politik sekarang dan mengimpikan kesejahteraan Malaysia. Antara tiga penjuru ini, aku nampak PKR lebih jelas membawa agenda nasional demi mengangkat kesejahteraan setiap kaum dan rakyat. Oleh sebab itu, aku sangat gembira dan juga sebak dengan pertukaran kerajaan buat julung-julung kalinya. Jadi, aku mengharapkan parti kali ini tidak menghampakan harapan rakyat untuk memberikan yang terbaik untuk bangsa dan negara.
Itu sahaja pandangan peribadi aku dan sedikit cerita mengenai pilihan raya untuk kali ini. Aku sudah dua tahun tidak menulis dan aku berharap aku akan lebih rajin menulis selepas ini.
Hai!! you're back. Blog pun dah wajah baru. Sep sikit kita sama first time mengundi. Hihi :)
ReplyDeleteHai Missha! Lama tak menulis haha. Selalu rasa nak menulis tapi malas yang amat. Yup.. alang2 dah semangat, tukar sekali lah lay out. hehe. tahniah missha jalankan tanggungjawab :D
Delete