Explore the blog
Sunday, May 13, 2018
Menginjak usia 25 tahun merupakan tahun pertama aku mengundi sempena Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14. Julung-julung kali mengundi setelah suku abad kehidupan, bagiku adalah sesuatu yang agak mengujakan. Aku berasa sungguh dewasa diberi peluang untuk membuang undi. Selama ini, aku hanya mendengar ungkapan dan keluhan daripada bapaku, saudara-maraku mahupun orang-orang di sekelilingku. Tetapi kali ini, aku sendiri dapat merasai peluang ini dalam hidupku.

Pada 8 Mei 2018, aku dan beberapa orang rakanku car-pooling bersama menuju ke Kelantan. Seperti yang kita semua sedia maklum, perjalanan ke Pantai Timur dari Pantai Barat mengambil masa kira-kira tujuh ke lapan jam pada umumnya. Namun, pada musim-musim tertentu, perjalanan mampu menginjak sehingga 12-14 jam lamanya. Kami berkumpul di KL Sentral dan bertolak kira-kira pukul 3.40 petang setelah cukup korum. Sempat juga aku dan Afiq memborong beberapa buah buku di MPH NU Sentral yang sudah hampir setahun tak dijejaki sebelum bertolak pulang ke Kelantan.