Explore the blog
Wednesday, August 20, 2014

Pesan Ibu 02: Rezeki


Gambar hiasan

Ibu boleh dikatakan sebagai angel bagi aku. Tak pernah lokek nak tolong orang walaupun diri dalam kesusahan. Walau ada sahaja keluhan yang akan keluar daripada mulutnya, tapi hanya kami sahaja yang tahu. 

Aku tahu ini mungkin sikap biasa. Tolong orang itu perkara biasa. Menderma, senyum dan sebagainya. Tapi, tak semua boleh buat benda tu seikhlas hati. Ambil contoh aku lah. Mungkin aku boleh memaniskan muka semanis-manisnya bila orang minta tolong, tapi jauh di sudut hati, aku menyinga. Kadang-kadang tersembul keluar juga sikap 'menyinga' tu. Tarik muka, senyap dan tak senyum.

Tapi ibu, walau aku tak tahu sedalam mana tahap keikhlasannya, aku dapat baca daripada reaksi orang. Orang amat menyenangi dia. Lihat sahaja baru-baru ini. Dia dimasukkan ke dalam hospital kerana denggi. Agak lama durasinya (9 Ogos 2014 - 17 Ogos 2014). Dalam tempoh tersebut, 4 hari dia di ICU. Bagi aku, tu antara kesedihan terbesar bila melihat seorang angel jatuh sakit.

Ramai sangat kawan-kawannya datang menziarah. Tak kurang juga keluarga-keluarga yang lain. Aku terharu dengan sokongan mereka. Padahal, ada yang jauh di KL sana, sanggup meredah perjalanan jauh untuk bagi sokongan.Tabahnya ibu dalam kesakitan pun, masih mampu melayan mereka. Saat tu, aku terfikir. "Apa sebenarnya yang istimewa tentang ibu, sampaikan sokongan maha dahsyat? Kalau aku yang berada di posisi dia, ada ke orang nak ziarah aku sampai macam tu?" 

Jadi, aku buat penaakulan sendiri. Ibu sangat pemurah. Jarang ditinggalnya solat dhuha. Apa yang termampu, diberinya kepada mereka yang lebih memerlukan.

Ibu selalu pesan:
"Duit yang kita sedekah tu lah sebenarnya duit kita. Duit yang kita ada sekarang ni tak semestinya duit kita. Kita guna, belanja untuk diri. Sudahnya labur macam tu je.."
"Jangan tarik muka kalau tetamu datang. Tetamu datang ni bawa berkat. Susah macam mana pun kita, raikan mereka.." 
"Biasa-biasakan diri solat dhuha. Buka pintu rezeki. Rezeki yang datang tak semestinya dalam bentuk duit atau hadiah. Boleh jadi kesenangan dalam urusan dan kesihatan.."
Aku teringat satu situasi semasa bulan puasa. Masa tu, aku yang merangkap driver dan peneman shopping ibu ke mana-mana, memang masak benar dengan perangainya yang suka berbelanja untuk keluarganya (dibaca suami, anak-anak, ibu mertua dan anak saudaranya). Singgah di kedai yang menjual baju melayu, ibu dan aku memilih baju melayu untuk abah, along, Amir dan Amin. Tak lama selepas itu, ada seorang kanak-kanak lingkungan tujuh tahun masuk ke kedai. Serta-merta ibu menyuruh aku mencari baju melayu untuk Syakir dan Iwan. Dua-dua kanak-kanak ni merupakan anak kepada pasangan yang kami kenal masa Amin di wad 2 tahun lepas. Keluarganya tidaklah tergolong dalam kalangan berada. Jadi, ibu terus buat keputusan nak belikan sepasang baju melayu buat mereka berdua.

Selesai urusan, kami pulang ke rumah. Ternampak sebuah kereta dekat kawasan rumah. Aku tak kenal makcik dan pakcik tu tapi dia seolah mencari seseorang. Rupa-rupanya mereka adalah kawan abah. Datang ke rumah dengan tujuan memberikan sebuah hamper. Terkejut. Hamper besar. Mungkin nilainya mampu menjangkau RM100++ bila melihat kepada makanan dan minuman dalam balutan yang besar itu.

Rezeki Allah, siapa yang duga? On the spot Allah balas.

Would you like to comment?