Explore the blog
Sunday, May 8, 2016
Abah selalu pesan, “abah harap akak kahwin dengan orang yang betul-betul sayangkan akak macam abah sayangkan akak. Abah tak minta lebih. Kalau dia sayang akak macam abah, abah jamin akak bahagia...”

Aku selalu terfikir, kenapa satu kriteria sahaja yang abah tetapkan sebagai syarat untuk bakal menantunya padahal banyak lagi kriteria lain yang bapa-bapa lain tetapkan seperti beragama, hormat orang tua, sudah stabil dan sebagainya. Pendek kata, untuk menjadi menantu abah, kriteria itu sangat senang.

Tapi semakin masa berlalu, aku mula faham definisi sayang itu terlalu subjektif. Kau tidak pernah tahu jika seseorang sebenarnya betul-betul mampu menyayangi kau sebagaimana ibu dan bapa kau sebab segalanya indah pada permulaan dan pada saat manis sahaja. Walhal, sayang sebenarnya memberi maksud yang lebih meluas. Bagaimana dia berdepan dengan kau saat kau mengadu padanya tentang masalah kau, saat kau dan dia menghadapi masalah, saat kau perlu bertoleransi dengannya, saat dia berhadapan dengan masalah dan segala-galanya. Pendek kata, cinta bukanlah sekadar ucapan semata-mata tanpa toleransi, komitmen dan perbuatan tetapi bagaimana kau bersama-sama ketika baik buruk peristiwa, yang boleh mengatasi ego kerana sayang, yang tidak hanya mementingkan diri sendiri dan mengabaikan perasaan pasangannya. Cinta tu sendiri boleh hadir dan berakhir dengan sekelip mata, sama ada wujudnya orang ketiga, perbuatan yang serasa tidak dapat diterima malah tanpa alasan musabab yang kadang tak tercerna dek akal.

Lama-lama aku faham, lelaki yang kita sayang atau yang mengaku sayangkan kita sebenarnya memang tak pernah akan mampu sayangkan kita macam ayah kita sendiri. Beliau yang azan dan iqamatkan kita waktu lahir, yang bertungkus lumus mencari duit nak besarkan kita dan macam-macam lagi tanggungjawab yang digalas oleh seorang bapa. 

Aku pun meniti usia dewasa yang mana suatu hari nanti jika diizin Tuhan akan berkahwin dengan lelaki yang aku pun tidak tahu siapa, yang akan menjadi suami aku kelak. Kalaupun aku yakin yang dia mampu menyanyangi aku, aku pasti tidak sama dengan apa yang dicurahkan abah. Abah yang sering berkata, "kat jalan ni lah dulu abah riba akak masa tengah drive. Masa tu akak umur dua tahun sebab nangis tak nak duduk kat riba ibu..", abah yang ingat segala peristiwa-peristiwa besar dalam sejarah kehidupan anaknya termasuklah pada ketika kali pertama aku baligh, abah yang sentiasa nasihatkan aku untuk rajin membuat kerja-kerja rumah untuk kesenangan masa akan datang, abah yang sentiasa ingatkan aku untuk memberi keutamaan kepada pelajaran dan juga abah yang sentiasa ingatkan aku untuk mencari seseorang yang mampu menyayangi aku seadanya. Tidak akan pernah sama dengan lelaki yang bakal aku kahwini satu ketika nanti..

Aku tahu tujuan hidup bukanlah untuk berkahwin semata dan mengembangkan zuriat tetapi lebih daripada itu. Dan tentang abah yang sudah lebih 20 tahun membesarkan aku, pada ketika dia akan melepaskan aku kelak ke tangan seorang lelaki, bukanlah tugas mudah baginya. Melihat anak gadis yang dahulunya didukung, diajar berjalan akan dipimpin oleh lelaki lain, bukanlah perkara enteng sebab beliau terlalu sayangkan aku dan bila beliau yakin lelaki itu akan menyayangi aku seperti adanya dia, aku yakin dia berani untuk lepaskan aku kepada lelaki tersebut.

Ternyata, kriteria "yang menyayangi akak macam abah" bukanlah satu kriteria yang mudah malah menjadi kriteria yang paling sukar untuk dituruti sebab dari kriteria itu, akan tumbuhlah kriteria lain seperti sabar, prihatin dan sebagainya.




Friday, April 15, 2016
Post terakhir sebelum aku kembali menulis adalah bulan Disember 2015, sekarang sudah pun bulan April 2016. Perkara yang agak susah dan tidak konsisten pada aku adalah menulis. Apa tah menulis, membaca juga perkara yang agak sukar buat masa ini. Apa-apa pun masih mencuba untuk memaksa diri membaca.

Aku tengok di ruangan komen pada post ini, pada setiap tahun mesti ada komen daripada pelajar lepasan SPM yanag akan bertanyakan tentang program Syariah dan Undang-undang yang aku belajar di USIM. Sekarang sudah pun berada di semester lapan, dan bakal menamatkan pengajian pada tahun hadapan (insyaAllah). Aku tak tahu jawapan apa yang sepatutnya aku beri kepada mereka yang berminat untuk menyambung asasi atau ijazah di sini. Dan aku tak tahu lah sama ada tulisan ini bakal viral atau tidak. Sekurang-kurangnya aku hanya menulis untuk pertimbangan kalian yang masih muda, yang masih tercari hala tuju kehidupan selepas ini.

Sejujurnya, pada tahun ini, USIM masih belum mendapat pengikitirafan daripada Legal Profession Qualifying Board (LPQB). Tak tahu apa itu LPQB, google sendiri. Masih dijanjikan yang USIM akan dapat tapi aku tidak tahu bila aku grad tahun depan, pengiktirafan itu sempat atau tidak. Jadi, untuk melayakkan diri anda menjadi atau mengimpikan kerjaya sebagai seorang peguam sivil, anda haruslah mengambil Sijil Amalan Guaman (CLP), lulus periksa, pergi chambering, selepas itu barulah layak untuk menjadi peguam sivil. Sekiranya anda mahu jadi peguam syarie, anda perlu mengambil Diploma Amalan Kehakiman & Guaman Syarie (DIJAP) atau sijil seumpamanya untuk melayakkan diri anda menjadi peguam syarie, atau di sesetengah negeri seperti Kelantan, sijil DIJAP tidak diperlukan untuk melanjutkan kerjaya ke bahagian guaman syarie. 

Tidak seperti di universiti awam yang lain (UIA, UM, UKM atau UiTM), program undang-undang mereka sudah lama bertapak di universiti di Malaysia, dan anda tidak perlu untuk mengambil CLP sebab bila dah habis belajar, anda boleh terus ke chambering dan praktis sebagai peguam sekiranya layak.

Okey, itu cabaran pertama. Kebanyakan dari kami masih belum memikirkan hala tuju selepas ini. Hanya memikirkan cara untuk survive dengan law school yang rupa-rupanya bukan mudah dan agak menyeksakan juga. Tetapi buat mereka yang sudah ada hala tuju, tahniah aku ucapkan. Ada yang berminat untuk mengambil CLP, kumpul duit dari sekarang untuk mengambil CLP yang beribu ringgit juga yurannya. Ada juga yang mengambil DIJAP untuk kesenangan pada masa akan datang. Ada yang bercita-cita untuk menjadi pensyarah, mahu menyambung pengajian sehingga ke peringkat PhD dan ada juga yang bercita-cita untuk membuka bisnes sendiri, yang langsung tiada kaitan dengan kos undang-undang.

Cabaran kedua? Aku rasa dari segi subjek dan jam kredit. USIM menegakkan konsep ilmu aqli dan naqli yang bagi aku cukup bagus sebab pelajar akan belajar subjek-subjek agama yang lain seperti Akhlaq, Aqidah, Fiqh-fiqh, Al-Quran dan Hadith serta subjek-subjek duniawi seperti undang-undang, keusahawanan, komputer dan sebagainya. Aku tak kata tak bagus, tetapi kami, pelajar Undang-undang USIM seolah tidak punya pilihan untuk drop subject kerana semua telah ditetapkan sebagai subjek wajib universiti, wajib fakulti dan wajib program. Satu sem, kami terpaksa mengambil sehingga 22 jam kredit, kaedah pemarkahan 40% carry marks serta 60% peperiksaan akhir untuk kesemua subjek (ada sesetengah subjek 50%-50%) seolah tidak langsung memikirkan nasib kami untuk menanggung sesi kehidupan hanya berputar isu pembelajaran semata. Aku suka menimba ilmu, belajar perkara-perkara yang baharu, tetapi sampai bila kita harus disogokkan dengan exam-orientation. 

Aku tidaklah menyesal menjadi pelajar jurusan undang-undang di USIM. Banyak perkara yang aku belajar. Salah satunya aku menjadi seorang yang cekal dengan ujian-ujian yang melanda kami dan bertuah mengenal kawan-kawan lain yang seangkatan dengan aku. Aku percaya suatu hari nanti, walau tanpa recognition sekali pun, aku insyaAllah akan menjadi seorang yang berjasa kepada keluarga aku (at least) dan sekiranya mampu berkhidmat untuk masyarat pun, aku akan cuba sehabis daya. Apa-apa pun, aku berdoa supaya junior yang lain kekal berusaha dan tidak merasa lelah, payah dan jerih kami sebagai senior.

Jadi, kepada anda yang berkira untuk menyambung sesi pembelajaran di USIM kelak, sila fikir dahulu. Aku boleh kata, USIM bagus dari segi kondisi dan suasana pembelajarannya. Tetapi sekiranya anda aim nak jadi seorang peguam dengan cara yang mudah, USIM bukanlah pilihan utama.

Aku tulis ini bukanlah tujuan untuk menghasut tetapi agar mereka yang di sana tidak membuat pertimbangan yang salah. Sekiranya USIM telah mendapat pengiktirafan daripada LPQB suatu hari nanti, aku akan menarik balik post ini.