Explore the blog
Friday, October 23, 2015
Istana Budaya

18 Oktober 2015, aku bersama rakan-rakanku (Maryam, Salmah dan Fatehah) pertama kali menjejakkan kaki ke Istana Budaya untuk menonton persembahan teater Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck. Aku dah baca novel, dah tengok filem dan dah tengok teater. Jadi nak komen sedikit sebanyak pasal teater. Tak reti sebenarnya, tapi #siscoba


Sebelum masuk 

Dari segi pelakon, aku suka watak Hayati yang dibawakan oleh Nabila Huda, penuh penghayatan dan perasaan. Babak Hayati banyak menangis. Tak tahu lah lobam mana mata beliau nak bawa watak tu seminggu. Eheh. Watak Zainuddin yang dibawakan oleh Amar Baharin pula agak kurang menyengat tapi good job lah. Ada babak-babak Zainuddin yang aku rasa meresap ke dalam jiwa. Tapi antara Zainuddin teater dan Zainuddin filem, memang Zainuddin filem lagi win!

Curtain call

Dari segi plot penceritaan, dalam buku harus lah penceritaan yang paling holistik. Dengan bunga bahasa yang indah, plot cerita yang menarik dan lebih terperinci, jadi untuk dijadikan teater, pengarah kena tonjolkan beberapa babak sahaja untuk dipertontonkan. Tetapi pada aku, cerita sebenar tentang jatuh bangun seorang pemuda dalam melayari bahtera kehidupan, sistem adat yang akhirnya menghimpit perjalanan manusia gagal ditonjolkan. Yang ada, hanyalah kisah cinta yang tidak kesampaian dan konflik antara Zainuddin dan Hayati.

Kareografi dan lagu dalam teater, aksi miming semua pelakon harus dipuji. Tidak dinafikan lagu-lagu dalam filem lebih tangkap feel dan tangkap leleh, tapi hasil usaha karyawan tempatan untuk mengangkat karya tempatan kena bagi jugak penghargaan. Jadi kudosss! Cuma lagu high pitch sangat. Macam terlebih-lebih sendu dia dan agak tak sesuai lagu balada dalam cerita berlatarbelakangkan tahun 1930-an

Props, pencahayaan, set, efek bunyi dan pelakon latar pulak tak payah cakap. Semuanya hebat. Dari awal ke habis persembahan, aku kagum tengok set pementasan, props pokok, gunung & sebagainya dibawa masuk ke tengah pentas. Sampai tak hirau dah dengan surat-surat cinta yang dibacakan sebab kagum dengan pelakon tambahan dengan props. Sampai terfikir kesungguhan orang belakang tabir macam mana. Superb!

Apa-apapun, pelakon & krew semua bagi all out waktu persembahan hari terakhir. Jadi, gua rate 3.5/5 untuk teater TKVDW. Tahniah krew dan pelakon!



Wednesday, October 14, 2015
Bengkak mata menonton filem Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck. Pertama kali membaca novel karya Buya Hamka ini pun sudah mampu menitiskan air mata. 

Cerita yang mengisahkan seorang pemuda yang bernama Zainuddin dari Makassar yang merantau ke negeri kelahiran arwah bapanya di Batipuh, Padang Panjang. Ibunya merupakan orang Bugis, manakala bapanya berketurunan Minang. Zainuddin telah jatuh hati dengan Hayati yang berdarah Minangkabau. Tetapi percintaan mereka dihalang gara-gara Zainuddin dikatakan anak orang terbuang lantaran ibu Zainuddin berdarah Bugis, maka keturunannya tidak diakui. Zainuddin diarah oleh Ketua Adat Minangkabau supaya keluar dari Batipuh dan kemudiannya dia berhijrah ke Padang Panjang untuk belajar agama. Sebelum meninggalkan Batipuh, Hayati berjanji dan bersumpah untuk sentiasa bersama dan mencintai Zainuddin selagi hayat dikandung badan. Zainuddin berpegang dengan janji Hayati, berserta azam dan semangat, dia memulakan hidupnya di Padang Panjang. Cerita ini dihiasi dengan utusan surat-menyurat antara Hayati dan Zainuddin. 

Babak pertama yang buat gua menangis. Ohmannn~

Konflik berlaku apabila Hayati ke Padang Panjang untuk melepaskan rindu terhadap Zainuddin. Dia bermalam di rumah sahabatnya, Khadijah dan Khadijah memaksa Hayati untuk berpakaian ala-ala moden di Pesta Pacuan Kuda. Hayati dan Zainuddin bertemu di Padang Panjang dalam acara lumba kuda dan alangkah terkejutnya Zainuddin dengan perubahan yang berlaku pada Hayati. Khadijah meyakinkan Hayati bahawa Zainuddin bukanlah yang terbaik buatnya kerana kedudukannya dalam masyarakat dan taraf hidup Zainuddin yang rendah. Abang Khadijah, Aziz jatuh hati dengan kecantikan dan kemanisan Hayati dan menghantar rombongan untuk meminang Hayati. Zainuddin juga melalui surat telah menghantar hasrat untuk meminang Hayati. Adat orang Minangkabau, segala keputusan hendaklah dibuat melalui mesyuarat dan mereka sebulat suara memilih Aziz untuk dijadikan suami Hayati kerana Aziz merupakan keturunan kenamaan dan mempunyai lebih banyak harta berbanding Zainuddin. Hayati juga tidak menghalang keputusan sebulat suara yang telah dibuat oleh mamaknya.

Maka, tinggallah Zainuddin dengan duka dan lara apabila orang yang dicintainya memungkiri janji mereka. Dia terlantar di katil selama dua bulan kerana patah hati yang tidak berkesudahan. Hayati suatu hari datang ke tempat Zainuddin menginap dengan pengharapan untuk menyembuhkan Zainuddin, tetapi saat Zainuddin terlihat jari jemari Hayati yang masih berinai, dia kaget serta trauma lantas menghalau Hayati supaya meninggalkan dirinya bersendirian.

Babak sedih kedua
Rapuh betul aku ni

Dek kerana patah hati, Bang Muluk mula memberikan kata-kata motivasi untuk Zainuddin melupakan perkara-perkara lalu dan memulakan hidup baru. Dia berhijrah ke Tanah Jawa dan mengembangkan sayapnya sebagai penulis yang terkenal dengan nama penanya "Z". Kemudian, Zainuddin ke Surabaya untuk menguruskan syarikat penerbitan buku, dan mengubah identitinya kepada Tuan Shabir. Hayati membaca novel "Teroesir" karangan Z dan terasa dekat dengan dirinya kerana kisah yang ditulis itu persis kisah hidupnya. Hayati yang tidak bahagia hidup di sisi Aziz yang kaki judi dan kaki botol masih mampu untuk melaksanakan tanggungjawabnya sebagai isteri tetapi sedikitpun usaha dan tanggungjawabnya tidak dihargai Aziz. Mereka hidup dikelilingi hutang, dan Aziz memutuskan untuk berpindah ke Surabaya. Di sana, Hayati dan Aziz menghadiri malam persembahan teater yang disutradarai oleh Tuan Shabir dan mereka terkejut bila mendapat perkhabaran bahawa Tuan Shabir sebenarnya adalah Zainuddin yang sudah mengecap kejayaan. 

Kehidupan Hayati dan Aziz bertambah perit kerana sikap Aziz yang tidak berubah dan Aziz dengan tidak segannya meminta pertolongan Zainuddin untuk berteduh di rumahnya. Zainuddin membenarkan lantaran mengasihi kawannya dan orang kampungnya meskipun beliau pernah dilayan seburuk-buruknya oleh Aziz dan keluarga Hayati. Di sebalik kebaikan Zainuddin terhadap mereka, sebenarnya Zainuddin masih menyimpan dendam terhadap Hayati kerana memungkiri segala janji dan meninggalkannya terkapai-kapai keseorangan. Aziz pula selepas beberapa bulan menginap di rumah Zainuddin, meminta diri untuk meninggalkan rumah tersebut dan berhijrah ke Banyuwangi untuk mencari pekerjaan kerana berasa malu menumpang teduh di rumah Zainuddin. Aziz meninggalkan Hayati bersama Zainuddin dan berjanji akan kembali mengambil Hayati apabila kehidupannya mulai stabil.

Surat Aziz kepada Zainuddin dan Hayati -- 1

Surat Aziz kepada Zainuddin dan Hayati -- 2

Zainuddin melepaskan amarah kepada Hayati kerana mengkhianati janji

Setelah beberapa ketika Aziz meninggalkan rumah Zainuddin, tiba sepucuk surat daripadanya yang menyatakan hasrat untuk meminta Zainuddin menjaga Hayati, meminta maaf atas perlakuannya dan menyatakan yang beliau tidak akan kembali lagi. Tibanya surat itu kepada Hayati juga menandakan bahawa talak satu sudah dijatuhkan ke atas Hayati. Berita Aziz bunuh diri telah mendapat liputan di akhbar. Hayati meminta maaf kepada Zainuddin dan menyatakan kesediaannya untuk mengabdi diri kepada Zainuddin. Zainuddin yang masih menyimpan dendam kepada Hayati, menyuruh Hayati kembali ke kampung halaman menaiki kapal Belanda, Van Der Wijck dan mengirimkan juga wang untuk Hayati menyambung kehidupan di sana. Keputusan Aziz yang tetap menyebabkan Hayati berduka dan meninggalkan sepucuk surat kepada Zainuddin sebelum menaiki kapal. Dalam surat tersebut, Hayati menyatakan maafnya dan sekiranya dia mati, dia mati mengenangkan Zainuddin. 

Surat terakhir Hayati kepada Zainuddin

Pengakhiran kisah ini seperti boleh diduga. Zainuddin apabila mendapat perkhabaran tentang tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, bergegas ke hospital Jakarta menemui Hayati yang sudah tenat. Zainuddin sempat menemui Hayati dan menyatakan segala yang terpendam di hatinya sebelum Hayati menghembuskan nafasnya yang terakhir. Pengakhiran yang sedih tetapi bahagia kerana mereka sempat bertemu sebelum masing-masing menutup mata. Dan tidak semestinya semua kisah cinta berakhir bersama. 

*****

Aku patut kasi amaran keras dengan diri aku supaya tidak menonton filem-filem seperti ini. Sebagai orang yang berpersonaliti biru, aku memang nangis jelah dari awal hingga akhir cerita. Terlalu berat kedua-dua kekasih ini melalui kisah hidup mereka. Zainuddin terlalu lemah untuk berhadapan dengan ujian cinta dan Hayati yang terlalu mengikut adat, tidak sedikit pun berjuang untuk cinta mereka. Hanya janji yang diungkap tetapi tiada usaha yang menyusul dan mengikut sahaja arus yang ditetapkan. 

Kisah ini juga mengkritik tentang adat yang menjadi halangan. Seperti tiada sebab yang kukuh masyarakat melayu yang berbeza keturunan tidak dapat menyambung kehidupan dan cita-citanya. Kisah ini berlatarbelakangkan masyarakat Minangkabau pada tahun 1930-an yang berpegang teguh kepada adat nenek moyang sehingga menyukarkan keadaan yang sepatutnya mudah. Kriteria yang dipilih oleh ahli keluarga Hayati untuk menentukan bakal suaminya bukanlah dilihat dari sudut akhlak mahupun agama, tetapi dipilih melalui pengaruh dan juga harta benda. Kita dapat lihat, walaupun latar belakang agama keluarga Hayati agak teguh, tetapi soal jodoh, materialistik masih lagi menjadi penanda aras. Malah, rasis budaya dan ukuran materialistik juga masih dapat dilihat sehingga kini. 

Add caption
Aku suka juga dengan peranan Bang Muluk yang setia dan sentiasa bersama Zainuddin ketika saat jatuh bangunnya. Tidak pernah gagal memberi pengharapan baru meskipun beliau tidak berpendidikan tinggi dan menjadi kutu kampung. Terlalu besar jasanya sehingga beliau merupakan tulang belakang Zainuddin sepanjang cerita. Kata-kata azimat beliau: Jangan biarkan hidup awak rosak binasa kerana perempuan itu. Lihat dunia dengan lebih luas. Masih ada banyak lagi kebahagiaan dan ketenangan di dalamnya. Cinta bukan mengajar kita menjadi lemah, sebaliknya ia membangkitkan kekuatan. Tunjukkan kepada perempuan itu yang awak takkan mati kerana dia. Ramai orang hebat kalah dalam percintaan, lantaran mereka mengambil jalan lain. Mereka maju kepada politik, menulis buku, mengarang syair dalam perjuangan hidup sehingga mereka duduk di tempat yang tinggi dan wanita perlu mendongak untuk memandang mereka dari bawah. Fuh! Ayat move on paling win, Bang Muluk!

Kisah cinta yang digarap oleh Buya Hamka, meskipun tidak sekuat kisah Hang Tuah dan Gusti Putri dalam Puteri Gunung Ledang, masih memberi nyawa dan mengkritik secara halus soal masyarakat yang terlalu berpegang kepada adat dan budaya. Walaupun berlatarbelakangkan tahun 1930-an, nampaknya masyarakat kita masih berada pada takuk yang sama biarpun sudah berpuluh-puluh tahun berlalu. 

Harapan terakhir Zainuddin selepas menulis kisah Tenggelamnya Kapa Van Der Wijck
Supaya kemuliaan bangsa tercapai, penyatuaan tanah air, hilang kebenciaan dan perbedaan dan supaya keadilan dan bahagia tercapai

Dan kisah ini masih berterusan berlaku dalam kalangan kita. Terlalu ramai manusia yang kalah dalam percintaan, berhenti sekerat jalan dan putus pengharapan. Moga kisah ini menjadi sumber kekuatan untuk terus percaya dan maju dalam kehidupan. Kata Zainuddin lagi, "ini bukanlah kisah cinta antara Zainuddin dan Hayati, tetapi kisah kebangkitan sejati. Kisah manusia yang jatuh tetapi memilih untuk bangkit. Lalu dia jatuh lagi tapi memilih untuk terus  bangkit sekali lagi. Walaupun berkali-kali jatuh, Zainuddin pilih untuk terus hidup, bangkit dari kesedihannya. Kejatuhan kita bukan permulaan bagi kesedihan kita, sebaliknya permulaan bagi kebangkitan kita. Jangan sekali-kali biarkan sedih dan duka mengawal diri kita.." Pengakhiran kata yang sangat bagus. Gua rasa nak quote semua kata-kata dalam buku dan filem ini.


P/s: Bakal menonton teater Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck di Istana Budaya hari Ahad 18 Oktober 2015 ini. Aku syak aku bakal mengalami situasi yang sama ketika membaca buku dan menonton filem. Kena sediakan tisu sebekas!

Tak sangka sebenarnya masih ada reader. Bila tengok hit counter sebelah kanan blog ni, asyik bertambah je walaupun dah lama tak buka. Terima kasih sekiranya ada yang membaca.

Kembali berkarya setelah beberapa bulan berehat, dan aku rasa aku masih kaku. Skill aku masih banyak perlu diasah dan aku sendiri kurang berpuas hati dengan karya sendiri. Sampai satu masa, aku terfikir, segala penat lelah yang terhasil boleh dilenyapkan dengan hanya ketiadaan usaha. Bakat seharusnya diasah, bukan selamanya tertancap dek kejayaan-kejayaan lepas. Sememangnya aku iri dengan mereka yang kreatif, seperti mahu meminjam kepala dan tangan mereka buat selama-lamanya.

ANTARA KARYA YANG DIHASILKAN SEMESTER INI:




Poster Manifesto untuk rakan sekuliah

All the best Mirali!


Mungkin aku memang suka rama-rama dan bunga?
Berapa banyak dah poster Gengsukakopi yang berkonsepkan bunga

Poster Ekspedisi Gua Batu Maloi.
Kalau berminat, hubungi nombor tertera di poster sebelum 28 Oktober 2015

Bukan mudah untuk berkecimpung dalam dunia seni. Aku tak pernah meletakkan nama aku sebaris dengan mereka-mereka yang berbakat seperti rakan-rakan aku yang lain. Tetapi mendapat pengiktirafan dalam kalangan keluarga dan teman juga sudah cukup menyenangkan aku. Saat mereka merujuk aku untuk bertanya tentang saiz dan harga banner dan bunting, bagaimana mahu menggunakan Adobe Photoshop, meminta tolong untuk membuat artwork pun sudah memberikan satu penanda aras yang aku mula dikenali dalam dunia promosi dan percetakan di universiti. Saiz-saiz banner dan bunting, serta harganya juga tersemat rapi dalam kepala. Mungkin sebab sudah berkecimpung sebagai Ketua Unit Publisiti dan Multimedia sejak tahun 2013, menyebabkan aku terpaksa menghafal semua perkara yang berkenaan.

Banner 8 x 4
Banner 25 x 9
Backdrop 20 x 10
Bunting 6 x 2
Tag nama saiz A6
Poster saiz A3 dan A4
Buku Program saiz A5

Dan tak lupa juga, setiap benda yang kita suka, kadang-kadang ada bahagian peritnya. Pernah beberapa kejadian sejak tahun 2013, aku diminta untuk membuatkan mereka poster dan logo sempena beberapa acara, kemudian setelah menghantar sebelum deadline, mereka sedikit pun tidak memberikan respon dan tidak menggunakannya walaupun sebelum itu aku dijanjikan dengan bayaran. Bukan bayaran yang aku pinta, tetapi masa dan idea yang dicurahkan kadang-kadang tiada siapa yang menghargainya. Walaupun mungkin karya aku tidak menepati standard mereka, aku simpan juga sebagai koleksi. Mungkin hanya aku yang faham dengan penat lelah tersebut. Mungkin juga, bila sampai satu saat dan ketika, aku boleh tersenyum melihat perkembangan karya dari zaman tak tahu apa-apa tentang photoshop kepada zaman yang mahirlah sedikit sebanyak tentang tools dan cara penggunaanya, sehingga ada yang meminta untuk mengajarkannya. Mungkin itulah makna sebenar pencapaian, tak perlu ada orang yang mengkalungkan segala penghargaan, cukup kita sahaja yang tahu memaknainya.

Sebab tu juga aku sampai sekarang tidak tahu apa yang akan terjadi dengan bakat ini suatu hari nanti jika aku tidak berterusan berkarya. Sedih juga sekiranya bakat ini bakal lenyap, tiada acara yang memaksa aku untuk menggunakannya dan sebagainya. Aku bermula dengan kosong dan aku takut juga suatu hari nanti, pengetahuan aku bakal menjadi lohong. Saat itu aku juga terfikir, benarkah bakat betul-betul anugerah Tuhan atau cuma bermakna bila diiringi usaha dan kerja keras? Mungkin aku kena mempertimbangkan cadangan kawan aku untuk membuat freelance supaya bakat ini berterusan untuk jangka masa yang lebih lama.




P/s: Berkarya juga menyebabkan aku lari dari dunia realiti seketika. Aku cuma berharap ketebalan kaca mata aku tidak bertambah.



Sunday, October 4, 2015
Betul lah bila tak sihat macam ni, baru nak hargai semua nikmat makan, berjalan dan sebagainya. Kalau waktu sihat, bukan main nak jaga makan, nak diet, bersenam, berjalan, bergiat aktif dan macam-macam lah. Hari ni dah masuk hari ketiga demam, tapi demam aku memang selalu pelik. Waktu siangnya tak seteruk waktu malam. Waktu malam, semua nak meragam. Makan pun tak lalu, loya, badan menggeletar, mata berair dan badan jadi sangat lemah.

Tahu tu simptom biasa untuk orang demam. Sebagai orang yang jarang demam, aku rasa itu salah satu ujian yang terberat pernah aku rasa. Waktu-waktu macam ni, terasa sangat perlukan mereka yang dekat. Tak dapat nak sangkal, waktu macam ni lah nak perhatian lebih. Ibu Abah telefon tanya keadaan macam mana, kawan mesej, kawan tolong beli makanan, kawan itu ini. Rasa menyusahkan jugak kadang-kadang waktu-waktu macam ni tak boleh nak berdikari sendiri. Tapi, kalau buat semuanya sendiri, sayu jugak rasa dia.

My therapy at the moment sebab tak suka makan ubat
Bubur Biel buatkan untuk aku. Lovely! Thanks Biel!




















Apa tujuan aku tulis post ni pun aku tak tahu. Jarang nak mengadu aku sakit kat sini. Mungkin waktu macam ni lah aku terkenang semua pengorbanan ibu abah kot. Mengadu sakit kat diorang waktu umur dah besar panjang macam ni pun masih rasa keanak-anakan. Tiba-tiba terimbas saat diorang bawa aku pergi klinik, hospital, tidur sebelah sebab nak jaga waktu malam untuk tuam kepala, buatkan sup atau bubur, suap ubat dan macam-macam lagi jasa yang susah nak dihitung. Bila dah berjauhan macam ni, jatuh sakit pulak, kau tak ada option lain selain appear kuat depan orang lain, tapi tumbang jugak bila mengadu kat parents pasal masalah kesihatan. Serius, aku rasa fitrah anak memang macam tu. Selain ingat Tuhan nak mohon kesembuhan, mesti akan teringat ibu abah, mohon mereka sentiasa di samping. Mungkin sebab aku anak manja kot. Entahlah.